LATEST

Russell Brand dihukum penjara lebih 10 tahun kerana merogol, serangan seksual

Russell Brand dihukum penjara lebih 10 tahun kerana merogol, serangan seksual

London: Pelakon dan pelawak British, Russell Brand dijatuhi hukuman penjara 10 tahun setengah kerana merogol seorang peminatnya serta melakukan serangan seksual terhadap tiga pekerja televisyen dan radio semasa kemuncak populariti antarabangsanya, lapor PA Media/dpa.

Brand, kini berusia 51 tahun, menyalahgunakan status selebritinya untuk memperdaya wanita dan disabitkan bersalah selepas perbicaraan di Mahkamah Mahkota Southwark atas kesalahan melakukan penderaan terhadap empat mangsa.

Seorang daripada peminatnya menceritakan bagaimana dia dirogol oleh Brand pada 2009 ketika berusia 21 tahun di kediaman mewah selebriti itu di London, manakala kakitangan wanita di Channel 4, MTV dan Capital Radio tampil mendedahkan bagaimana mereka diserang secara seksual oleh bintang televisyen berkenaan.

Pada Isnin, Hakim Joel Bennathan mengecam “keangkuhan melampau” Brand semasa menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun setengah ke atasnya atas pertuduhan merogol dan tiga pertuduhan serangan seksual.

Hakim memberitahu Brand: “Kira-kira 20 tahun lepas Russell Brand, anda mula mencipta nama, anda pintar, dan di mata ramai orang anda seorang yang melucukan serta berkarisma.

“Anda juga telah menjadi pemangsa seksual.”

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news