MELAKA: UMNO tidak mahu lagi terperangkap dengan isu ‘titik bengik’ (perkara remeh) atau pertelingkahan lama dengan PAS, yang cuba dibangkitkan semula pihak tertentu.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata sebaliknya parti itu memilih untuk terus bergerak ke hadapan demi memperkukuh kerjasama politik dan memastikan kemakmuran rakyat.
Asyraf Wajd berkata, segala perbezaan dan isu berbangkit sebelum ini tidak lagi menjadi halangan kepada usaha membina persefahaman serta memperkukuh semangat muafakat antara parti.
Beliau berkata, semua pihak sudah mencapai kesepakatan untuk mengetepikan perkara lalu dan memberikan tumpuan kepada agenda lebih besar, khususnya kepentingan rakyat serta masa depan negeri dan negara.
“Saya rasa tak ada masalah sangat sebabnya kita dah sepakat, maknanya perkara yang lepas kita biarkan berlalu.
“Sudah tentu dalam usaha kita bermuafakat ini, kita harus bergerak ke depan,” katanya selepas menyampaikan ceramah Gelombang Biru Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Kundor, di Tangga Batu di sini hari ini.
Yang turut hadir, Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan; Pengarah Pilihan Raya BN DUN Pantai Kundor, Datuk Noor Azman Hassan dan calon BN kerusi berkenaan, Datuk Tuminah Kadi.
Mengulas usaha pihak tertentu yang cuba mengungkit kembali isu dan perselisihan lama, Asyraf Wajdi berkata, tindakan sedemikian bukan sesuatu yang mengejutkan, malah tidak sedikit pun menjejaskan semangat kepemimpinan serta jentera parti.
Katanya, cubaan menghidupkan kembali nostalgia politik lampau juga tidak membawa sebarang makna kerana semua pihak kini lebih yakin terhadap kepentingan kerjasama yang sedang dibina.
“Dan sebab itu, kita tak hairan usaha pihak lain yang cuba ‘mengapung-apungkan’ kisah silam, itu biasa, tetapi yang penting kita dapat lihat pimpinan dan juga jentera kedua-dua parti (UMNO dan PAS) tidak pun sedikit berasa terkesan.
“Usaha untuk mengeluarkan segala nostalgia lama
tidak memberi apa-apa makna, sebab mereka (jentera) melihat dan mereka yakin bahawa kita harus bergerak ke depan,” katanya.
Asyraf Wajdi berkata, keyakinan terhadap semangat muafakat itu turut didorong oleh aspirasi rakyat yang mahu melihat kestabilan politik diterjemahkan kepada pembangunan dan kemakmuran.
Katanya, kepentingan rakyat perlu menjadi keutamaan, berbanding usaha mengungkit kembali pertelingkahan yang tidak lagi relevan dengan landskap kerjasama politik ketika ini.
“Bergerak ke hadapan, rakyat mahukan pemuafakatan ini demi kemakmuran negeri dan negara secara keseluruhannya,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd