am@hmetro.com.my
Besut: Lelaki ditahan bagi membantu siasatan berhubung dakwaan menipu seorang ibu tunggal secara bersemuka membabitkan wang tunai sebanyak RM52,000, hari ini.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Azamuddin Ahmad @ Abu berkata, suspek berusia 40 tahun ditahan di rumahnya di Machang, Kelantan, 3.20 petang.
Katanya, terdahulu polis menerima laporan daripada ibu tunggal berusia 43 tahun mendakwa ditipu seorang lelaki berhubung urusan perniagaan ubat homeopati, semalam.
“Berdasarkan keterangan, mangsa yang tidak bekerja berkenalan dengan suspek melalui aplikasi Michat awal Mac tahun lalu.
“Dalam tempoh berkenalan suspek mengajak mangsa membuat perniagaan berasaskan ubat homeopati dan mangsa setuju menyertainya.
“Mangsa membuat tiga transaksi berbeza iaitu kali pertama RM 25,000 kali kedua, RM 20,000 serta kali ketiga RM 7,000 di lokasi berbeza dengan tarikh berbeza.
“Wang itu sebagai bayaran deposit perniagaan, bayaran penuh serta bayaran pembelian barangan dan bayaran bahan promosi produk,” katanya.
Katanya, suspek bagaimanapun memaklumkan terdapat masalah untuk proses perniagaan seperti yang dijanjikan pada mangsa pada 26 Ogos tahun lalu.
“Mangsa curiga sebelum meminta resit belian barang tetapi suspek tidak berbuat demikian.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
