London: Pemain nombor dua Britain, Katie Boulter, mendedahkan dia dan keluarganya menerima ugutan bunuh dan mesej kebencian selepas aksi di gelanggang, susulan kemarahan kaki judi yang kalah pertaruhan.
Katie, 28, yang kini menghuni ranking ke-39 dunia, berkongsi pengalaman menakutkan itu menerusi temu bual eksklusif bersama BBC.
Antara mesej mengejutkan diterima: “Harap kau kena kanser”, “Lilinnya dah ada, tinggal keranda untuk seluruh keluarga kau”, dan “Pergi mati. Aku kalah duit yang mak aku beri.”
“Saya cuma tertanya-tanya siapa manusia di sebalik mesej begitu,” katanya.
“Itu bukan sesuatu yang saya sanggup ucap walau kepada musuh sendiri. Ia sangat kejam.”
Menurut satu kajian bersama Persatuan Tenis Wanita (WTA) dan Persekutuan Tenis Antarabangsa (ITF), 40 peratus daripada mesej berunsur ugutan datang daripada penaruh judi, satu statistik yang membimbangkan.
Kajian yang menggunakan teknologi Threat Matrix AI itu menjejak 1.6 juta komen dan kiriman di media sosial sepanjang tahun lalu.
Hasilnya, sebanyak 458 pemain dikenal pasti menjadi mangsa ugutan atau cercaan secara langsung, termasuk beberapa kes diserahkan kepada pihak berkuasa.
“Anda tak tahu sama ada individu itu berada di lokasi kejohanan, atau tahu di mana anda tinggal,” kata Katie, yang akui rasa terancam setiap kali membuka akaun media sosialnya.
Pemain nombor tiga dunia, Jessica Pegula turut mengecam situasi itu dan mendesak syarikat judi serta platform media sosial ambil tanggungjawab lebih besar.
“Mesej seperti itu tak sepatutnya menjadi kebiasaan. Kami perlukan perlindungan yang lebih menyeluruh, bukan sekadar tindakan permukaan.”
WTA kini merancang untuk menguatkuasakan sistem pengesanan lebih ketat dan bekerjasama dengan pihak penguat kuasa undang-undang, dalam usaha mengekang gangguan terhadap atlet profesional.
© New Straits Times Press (M) Bhd