Warga emas tunggang motosikal lawan arus 700 meter

Warga emas tunggang motosikal lawan arus 700 meter

am@hmetro.com.my

Iskandar Puteri: Polis berjaya mengesan seorang lelaki warga emas yang disyaki menunggang motosikal dengan cara melawan arus tanpa memakai topi keledar di Kilometer 24, Lebuhraya Link Kedua arah utara di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan berkata, pihaknya mendapati lelaki berusia 80 tahun itu menunggang motosikal dengan cara songsang sejauh 700 meter.

“Lelaki warga emas itu menunggang sebuah motosikal Yamaha Lagenda warna biru secara berbahaya dengan melawan arus dan tanpa memakai topi keledar.

“Selepas berjaya mengesannya, kita membawanya ke Bahagian Siasatan

dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Daerah Iskandar Puteri untuk membantu

siasatan,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Terdahulu, tular video berdurasi 12 saat memaparkan sebuah motosikal ditunggang seorang warga emas berkopiah putih melawan arus di lebuh raya itu.

Kumarasan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian itu untuk menghubungi Pejabat Pertanyaan BSPT Daerah Iskandar Puteri di talian 07-5101322.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top