Pengerusi, setiausaha persatuan kuil direman 6 hari, disyaki seleweng RM50,000

Pengerusi, setiausaha persatuan kuil direman 6 hari, disyaki seleweng RM50,000

am@hmetro.com.my

Melaka: Pengerusi dan setiausaha sebuah persatuan kuil di negeri ini direman enam hari di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, hari ini bagi membantu siasatan kes menyeleweng wang organisasi itu berjumlah RM50,000 tahun lalu.

Majistret Uthman Abd Ghani membenarkan suspek berusia 61 dan 75 tahun direman enam hari bermula hari ini hingga 23 Jun selepas dipohon pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Melaka bagi membantu siasatan.

Menurut sumber kedua-dua suspek ditahan kira-kira jam 11.45 pagi semalam ketika memberi keterangan di Pejabat SPRM Melaka.

Katanya, mereka dipercayai menyalahgunakan kuasa dan kedudukan dengan mengeluarkan wang persatuan berjumlah RM50,000.00 tanpa kelulusan atau pembentangan dalam mesyuarat ahli jawatankuasa.

“Difahamkan wang itu juga digunakan untuk tujuan peribadi pada tahun lalu,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Melaka, Adi Supian Shafie ketika dihubungi mengesahkan tangkapan dan reman berkenaan namun tidak mengulas lanjut kerana kes masih dalam siasatan

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top