am@hmetro.com.my
Pekan: Suasana pilu menyelubungi Hospital Pekan di sini, hari ini, apabila dua anak mangsa kemalangan maut di Jalan Kuantan-Segamat dekat Kampung Batu Lapan, Lepar, di sini, tiba untuk menatap jenazah ayah dan ibu buat kali terakhir.
Dua beradik berkenaan, Nursyamimie Jamal Azizul, 17, dan Muhammad Syamril Alif, 15, yang menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), tiba kira-kira jam 3.15 petang.
Bagaimanapun, seorang lagi anak lelaki pasangan suami isteri itu, Muhammad Syakir Iman berusia enam tahun, tidak bersama kerana masih dirawat di HTAA.
Ibu bapa mereka, Jamal Azizul Samat, 44, dan isterinya, Lizawati Abdullah, 41, meninggal dunia selepas kereta yang mereka naiki terbabit dalam nahas malam tadi.
Pada jam 3.45 petang, jenazah pasangan itu dituntut ahli keluarga sebelum dibawa ke Masjid FELDA Chini Timur 1 untuk solat jenazah dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam FELDA Chini Timur 1.
Dalam kejadian jam 10 malam tadi, pasangan suami isteri itu maut, manakala tiga anak mereka parah selepas kereta Proton Wira dinaiki terbabas dan bertembung dengan lori di lokasi kejadian.
© New Straits Times Press (M) Bhd



