am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: “Setiap hari hati kami berdegup kencang memikirkan keselamatan keluarga mentua yang tinggal di Tehran susulan peperangan yang berlaku antara Iran dan Israel sekarang.
“Letupan bom juga jelas kedengaran di rumah mentua jika kami dapat berhubung,” kata ahli perniagaan, Nurul Fariza Kamaruddin, 42.
Nurul Fariza yang menjalankan perniagaan di Johor Bahru bersama suaminya warga Iran, Ahmad Jamalzehi, 38, berkata usaha keluarga mentuanya menyelamatkan diri keluar dari Pounak, Tehran menuju ke Zahedan sejauh 1,800 kilometer dari ibu negara itu, setakat ini masih gagal.
Beliau berkata, ini kerana semua jalan di Tehran sesak dengan penduduk berpusu-pusu keluar dari kawasan konflik, selain ketiadaan bekalan petrol susulan krisis yang berlaku sekarang.
“Setakat ini, kami berhubung melalui telefon dengan keluarga mentua tetapi ada kalanya tiada talian dan jika boleh bercakap sekali pun, ia kerap terputus.
“Ini menyebabkan suami tertekan kerana tidak mengetahui perkembangan ibu dan dua adiknya di Tehran.
“Memang kami meminta keluarga di sana segera berpindah ke kampung mereka di Zahedan yang jauh dari bedilan Israel, tetapi setakat ini mereka tidak dapat keluar.
“Keadaan jalan di sana juga banyak yang rosak teruk akibat bedilan Israel,” katanya kepada BH, hari ini.
Nurul Fariza berkata, walaupun rumah mentuanya agak jauh dari pangkalan tentera Iran dan pusat ekonomi yang menjadi sasaran Israel, tetapi perasaan bimbang tetap ada kerana segala kemungkinan boleh berlaku dalam keadaan krisis ini.
Beliau berkata, dua adik suaminya juga sudah menyimpan bekalan makanan sebagai persediaan keluarga mereka jika keadaan semakin buruk.
“Kami berdoa konflik yang berlaku tidak berpanjangan dan keluarga di sana selamat.
“Kali terakhir kami pulang ke Iran pada 2023 dan harap dapat bertemu mereka sebaik ketegangan ini berakhir,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
