bisnes@hmetro.com.my
Klang: Kesan fenomena El Nino yang dijangka bermula September ini dan berlarutan sehingga tahun hadapan antara yang difokuskan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam penyediaan Belanjawan 2027.
Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, perkara itu antara yang dibincangkan dalam pertemuannya dengan Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, bagi memastikan kemudahan pembiayaan dalam sektor makanan dapat disediakan bagi membantu pemain industri terus berdaya tahan menghadapi perubahan cuaca.
Beliau berkata, peningkatan suhu laut akibat fenomena berkenaan berpotensi menjejaskan hasil tangkapan ikan, selain memberi kesan kepada sektor agromakanan lain.
“Dalam ucapan, selalu saya sebut kita berada dalam zon selesa. Namun, kita tidak boleh anggap selesa sampai bila-bila disebabkan geopolitik tidak menentu dan cuaca boleh menganggu bekalan ini.
“Dalam taklimat semalam, Kementerian Kewangan bersedia menyediakan keperluan-keperluan mendadak yang datang akibat perubahan ini.
“Maka bank diminta menyediakan kemudahan kalau perlu bantuan-bantuan tambahan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Agrobank cawangan Klang di Bandar Botanik di sini, hari ini.
Beliau berkata, sektor perternakan antara diberi perhatian kerana Malaysia ketika ini hanya mampu mengeluarkan kira-kira 20 peratus keperluan daging negara dengan selebihnya di import.
Katanya, tumpuan turut diberikan kepada jagung bijian tempatan sebagai keperluan makanan haiwan ruminan.
Belanjawan 2027 dijadualkan dibentangkan di Parlimen pada Oktober.
© New Straits Times Press (M) Bhd
