Harian Metro bakal menganjurkan acara larian santai bertemakan Batik Run Harian Metro 2025, sebagai inisiatif untuk mendekati pembaca setia sambil memartabatkan warisan tempatan melalui aktiviti riadah keluarga.
Menurut Pengurus Besar Jabatan Pengedaran (PTSB), Prakash Munusamy, pemilihan batik sebagai tema utama memberi nafas baharu kepada penganjuran larian santai dan pada masa sama menyerlahkan keindahan budaya negara dalam suasana moden.
Katanya, penganjuran program seumpama ini turut menjadi permulaan kepada pelbagai aktiviti lain buat pembaca setia, sebagaimana yang pernah dianjurkan sebelum ini.
“Biasanya orang tak kaitkan batik dengan aktiviti fizikal seperti larian. Tapi kami nak ubah persepsi itu. Kita bawa elemen batik ke pentas sukan ringan macam fun run ini.
“Dulu kita ada banyak acara di bawah jenama Arena Metro. Sekarang ini kita nak hidupkan kembali semangat itu tapi dengan pendekatan yang lebih santai dan mesra keluarga,” katanya.
Acara ini dijadualkan berlangsung pada 29 Jun di Dataran DBKL, Kuala Lumpur dan terbuka kepada orang ramai dengan bayaran penyertaan serendah RM45.
Setiap peserta bakal menerima pelbagai manfaat termasuk perlindungan insurans, t-shirt batik eksklusif, pingat penyertaan, e-sijil, minuman tenaga percuma sepanjang acara serta beg cenderamata.
“Kita nak peserta rasa berbaloi. Walaupun bayaran murah, kita sediakan pengalaman yang lengkap dan menyeronokkan. Konsepnya mudah, datang sekejap, beriadah dan luangkan masa dengan keluarga,” katanya.
Pendaftaran kini dibuka melalui laman sesawang www.ticket2U.com.my, dan pihak penganjur menjangkakan kehadiran sekitar 1,000 hingga 1,500 peserta.




