am@hmetro.com.my
Klang: Jurulatih memanah didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal dan persetubuhan luar tabii terhadap remaja perempuan berusia 15 tahun, minggu lalu.
Tertuduh, Mohd Faizul Md Taib mengaku tidak bersalah selepas dua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Siti Aminah Ghazali.
Mengikut pertuduhan, Mohd Faizul didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa di sebuah tandas sekitar daerah ini, kira-kira jam 4.20 petang pada 10 Jun lalu.
Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.
Bapa kepada seorang anak itu juga didakwa melakukan persetubuhan luar tabii terhadap mangsa sama di lokasi, tarikh dan waktu yang sama.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun hingga 20 tahun dan sebat.
Timbalan Pendakwa Raya Nurul Jannah Aimi mencadangkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh dengan syarat tambahan tidak mengganggu saksi secara sendiri atau melalui wakil.
Tertuduh diwakili peguam Daneish Thayalan dalam mitigasinya memaklumkan anak guamnya berpendapatan bulanan sebanyak RM4,000 dan menanggung seorang anak dan isteri.
“Tertuduh juga menanggung perubatan bapanya yang mempunyai penyakit kencing manis dan darah tinggi. Anak guam saya juga tiada masalah untuk melaporkan diri di balai polis setiap bulan dan memohon jaminan dikurangkan,” katanya.
Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin dan membenarkan syarat tambahan pihak pendakwaan.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 19 Ogos depan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




