am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pengarah filem terkenal, Murali Abdullah, 62, meluahkan rasa syukur apabila kesihatannya kini semakin pulih dan dibenarkan pulang selepas 13 hari dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Menerusi satu hantaran di Facebook miliknya, Murali berkata, ini menjadi titik permulaan untuk dirinya kembali menyumbang dalam industri perfileman yang sekian lama menjadi jiwa dan cintanya.
“Alhamdulillah, saya dah ‘discaj’ daripada hospital hari ini. Kini, saya boleh kembali semula ke industri perfileman Malaysia,” katanya.
Bagaimanapun, Murali meluahkan perasaan kecewanya dengan keadaan industri filem tempatan yang didakwa semakin “nazak” kerana dipenuhi individu yang hanya mementingkan keuntungan peribadi.
“Industri Perfileman Malaysia kini nazak… Dengan dipenuhi orang yang hanya pentingkan pendapatan sendiri. Mereka tiada niat untuk membangunkan industri ini,” katanya.
Pengarah filem Aku Kaya The Movie itu, juga menyeru penggiat seni lain agar kembali bersatu dan memperjuangkan pemulihan industri secara bersama-sama.
“Industri ini perlu disembuhkan semula. Marilah bersama saya, kita bangunkan semula industri filem Malaysia,” katanya.
Dalam pada itu, Murali turut merakamkan penghargaan kepada mereka yang hadir melawat di HKL, termasuk pengarah, wartawan, pereka busana, pelakon dan sahabatnya, semalam.
Murali tidak menafikan rasa terkilan apabila tiada wakil daripada badan-badan penting seperti Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), presiden persatuan filem mahupun tokoh politik yang turun menjenguknya, dalam perkongsian di media sosialnya.
Dia kini dalam fasa pemulihan penuh, Murali bertekad untuk bangkit semula menerusi Persatuan Pena Emas yang dinaunginya dan bersedia untuk melakukan perubahan besar dalam landskap perfileman negara.
Terdahulu, Murali dikejarkan ke hospital akibat serangan jantung pada malam Hari Raya Aidiladha lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




