hafidzul@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Hanya 156 kilang pemprosesan sisa elektronik atau e-waste berlesen di seluruh negara yang dibenarkan memproses bahan itu yang datangnya dari sumber dalam negara sahaja.
Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Rosli Zul berkata, bagaimanapun Malaysia menjadi tumpuan negara luar untuk menerima e-waste secara haram dan kini terdapat 600 kontena di Pelabuhan Klang yang ditahan kerana memasuki negara ini tanpa kebenaran.
“Bagi penguatkuasaan di pelabuhan, ia diuruskan oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM),” katanya pada Sidang Media Op Hazard 2.0 di Menara 1 Bukit Aman hari ini.
Menurutnya, kilang e-waste haram beroperasi dengan kos rendah kerana menerima bahan mentah secara percuma atau dibayar dan menjual semula hasil proses pada harga pasaran tinggi.
“Proses tanpa alat kawalan menyebabkan bahan toksik terlepas ke alam sekitar, memberi kesan kepada kesihatan awam dan alam sekitar secara langsung.
“(Jadi) Kita bekerjasama dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia dalam menangani isu ini termasuk memberi latihan kepada mereka untuk mengenal pasti bahan-bahan e-waste yang cuba diseludup masuk,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pematuhan) LHDN, Datuk Hisham Rusli berkata, pihaknya sedang menyiasat pemilik dan pengendali premis e-waste yang dipercayai gagal mengisytiharkan pendapatan sebenar.
“Kita percaya ada antara mereka langsung tidak melaporkan pendapatan, atau mengurangkan jumlah sebenar kepada LHDN,” katanya.
Menurutnya, siasatan awal terhadap 57 premis terbabit mendapati pelarian cukai yang berlaku mungkin mencecah sekitar RM500 juta.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA), Datuk Seri Azmi Abu Kassim pula menegaskan aktiviti tidak sah tetap tertakluk kepada undang-undang cukai negara.
Azmi berkata, hasil siasatan mendapati bahan e-waste diproses secara konvensional dan hasil logam seperti tembaga serta timah dijual semula dengan nilai tinggi, tetapi tiada rekod cukai dikemukakan.
Katanya, perkara itu akan diteliti secara menyeluruh oleh LHDN dan agensi berkaitan untuk tindakan lanjut demi memastikan hasil negara tidak terus mengalami ketirisan.
Dalam pada itu, beliau tidak menolak kemungkinan wujud ketirisan maklumat sebelum serbuan operasi kali ini, susulan penemuan beberapa premis yang sudah dikosongkan ketika pasukan penguat kuasa tiba di lokasi.
“Ada premis yang sudah tutup awal masa kita sampai. Tempat kosong. Barang pun tak ada. Jadi, kita syak mungkin maklumat operasi ini sampai ke pihak mereka lebih awal.
“Kalau kita pergi serbu dan tempat itu dah dikosongkan siap-siap, maknanya ada orang yang bocorkan maklumat. Perkara ini kita kena tangani serius,” katanya.
Sebagai langkah menangani isu itu dan menjaga integriti operasi akan datang, beliau berkata, PDRM sedang mempertimbangkan penglibatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam pasukan serbuan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




