Skuad Iran terima sambutan hangat

Skuad Iran terima sambutan hangat

Tehran: Skuad Piala Dunia Iran tetap menerima sambutan yang positif ketika tiba di Lapangan Terbang Tehran, meskipun pulang tanpa kejayaan layak ke pusingan kalah mati kejohanan di Amerika Syarikat (AS).

Ratusan penyokong, terdiri daripada kanak-kanak, ibu bapa serta peminat setia, hadir menyambut kepulangan pasukan sambil melaungkan “Iran, Iran!” serta mengibarkan bendera kebangsaan sebagai tanda penghargaan terhadap usaha skuad negara.

Iran menamatkan saingan di tempat ketiga kumpulan selepas mencatat tiga keputusan seri, namun gagal melayakkan diri sebagai antara lapan pasukan tempat ketiga terbaik apabila dipisahkan menerusi perbezaan gol.

Tumpuan penyokong semakin memuncak apabila pesawat yang membawa skuad negara dari Turkiye – selepas berlepas dari Mexico – akhirnya mendarat di Tehran, dengan kehadiran pemain disambut persembahan muzik ketenteraan serta lagu kebangsaan.

Penjaga gol, Alireza Beiranvand yang menjadi antara tumpuan utama turut memohon maaf kepada penyokong atas kegagalan pasukan melangkah lebih jauh.

“Iran, Iran!” jeritnya di hadapan penyokong ketika tiba di Lapangan Terbang Mehrabad sambil mengakui kekecewaan.

Sementara itu, pertahanan Ramin Rezaeian meluahkan rasa tidak puas hati terhadap beberapa kekangan luar padang yang dihadapi pasukan sepanjang kejohanan, termasuk isu perjalanan dan visa.

Seorang penyokong, Mona Banisafa, 42, tetap menghargai usaha pemain meskipun keputusan tidak memihak kepada mereka.

“Pemain sudah berusaha sebaik mungkin, kami datang untuk berterima kasih. Jika keadaan lebih baik, mereka pasti mampu capai keputusan lebih baik,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top