Upah RM18,000 curi lori bonded, tujuh anggota sindiket ditahan

Upah RM18,000 curi lori bonded, tujuh anggota sindiket ditahan

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Sindiket curi lori bonded yang aktif beroperasi di empat negeri membabitkan kerugian kira-kira RM1.23 juta berjaya ditumpaskan polis dengan penahanan tujuh lelaki dalam Op Lejang Lori Bonded, bulan lalu.

Kesemua warga tempatan berusia antara 32 tahun hingga 48 tahun itu ditahan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman di beberapa lokasi berasingan di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur pada 22 Jun hingga 28 Jun lalu.

Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, kejayaan itu hasil risikan yang dijalankan empat bulan bermula Mac lalu hingga bulan lalu dan sindiket berkenaan dikenal pasti aktif beroperasi di Selangor, Johor, Melaka dan Kuala Lumpur.

Katanya, siasatan awal mendapati seorang suspek yang ditahan adalah dalang utama sindiket yang berperanan sebagai orang tengah untuk mencari ‘striker’ (pencuri), pengendali stor haram, mekanik, transporter dan pembeli komponen lori curi.

“Sindiket itu disyaki terbabit dalam lebih kurang 18 kes kecurian lori bonded yang dilaporkan di Johor, Melaka, Selangor dan Kuala Lumpur dengan anggaran kerugian berjumlah RM1,230,000,” katanya dalam kenyataan di sini, malam ini.

Katanya, sindiket itu menggunakan modus operandi dengan dalang utama berperanan menerima tempahan daripada pemilik bengkel sebelum mengarahkan suspek (striker) mencuri model lori yang dikehendaki dan membawa lori yang dicuri ke stor atau bengkel haram untuk dileraikan.

Menurutnya, sindiket akan menjual komponen dan kepala lori secara berasingan dengan harga di bawah nilai pasaran dan iklan penjualan komponen dibuat melalui platform media sosial.

“Setiap suspek akan dibayar mengikut jenis kepala lori yang dicuri dengan anggaran bayaran antara RM15,000 hingga RM18,000,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya merampas lima lori, masing-masing sebuah kereta dan motosikal, beberapa peralatan pemotong lori, seunit jammer, dua unit axle lori dan seunit kotak stereng.

Selain itu turut dirampas pelbagai dokumen syarikat dan resit pembayaran dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan sindiket itu dan keseluruhan nilai rampasan itu dianggarkan RM400,000.

Katanya, semua individu yang ditahan sudah ditahan reman bagi membantu siasatan lanjut dan setakat ini sebanyak 13 akaun bank dengan nilai RM280,836.10 sudah dibekukan mengikut Seksyen 44(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan Seksyen 4(1) AMLATFPUAA 2001.

Dalam pada itu, Kumar berkata, pemilik lori dan pengusaha syarikat logistik dinasihatkan memastikan kenderaan dilengkapi sistem keselamatan dan pemantauan GPS yang sentiasa berfungsi serta diparkir di kawasan selamat.

Katanya, pemilik bengkel diingatkan supaya tidak membeli komponen kenderaan tanpa dokumen pemilikan yang sah atau yang ditawarkan di bawah harga pasaran.

Katanya, orang ramai diseru menyalurkan maklumat kepada polis bagi membanteras kegiatan curi lori, manakala tindakan tegas akan diambil terhadap individu atau kumpulan yang terbabit kegiatan itu serta rangkaian penerima dan pembeli komponen kenderaan curi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top