nooratiqah.sulaiman@bh.com.my
Kuala Lumpur: Kesemua 47 jemaah warga emas yang ditipu pakej haji secara ‘DIY’ itu sudah diberi amaran oleh kerajaan Arab Saudi.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Naim Mokhtar berkata, kesemua jemaah itu tidak dikenakan sebarang denda berikutan rekod baik yang ditunjukkan oleh jemaah haji Malaysia ketika di Tanah Suci.
Malah beliau berkata, jumlah jemaah yang kecil berbanding negara lain juga menjadi antara faktor kesemua warga emas itu diberi peluang kedua.
Daripada maklumat yang saya terima, kesemua jemaah haji warga emas ini tidak dikenakan denda seperti rakyat negara lain yang didenda untuk membayar sehingga ratusan ribu atau dihalang masuk dalam tempoh tertentu.
Kerajaan Arab Saudi memberi mereka ini peluang dan peringatan sahaja. Namun kita tidak mahu disebabkan sikap segelintir mereka yang tidak bertanggungjawab ini, rekod baik yang kita pegang selama ini, nanti akibatnya akan diterima oleh jemaah yang lain, katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Ziarah Kasih PPZ-MAIWP, Kasih Medik: Sumbangan Kewangan bagi Pengangkutan Pesakit Dialisis Kolej Universiti Antarabangsa MAIWP, Batu Muda, hari ini.
Media sebelum ini melaporkan perjalanan 47 jemaah warga emas Malaysia untuk menunaikan haji bertukar mimpi ngeri apabila ditipu ejen haji tempatan dipercayai membabitkan seorang ahli agama.
Jemaah terpedaya dengan janji manis mendakwa dipaksa meredah laluan berbahaya dengan berjalan kaki tanpa dokumen untuk ke Makkah sebaik tiba di Jeddah, susulan kawalan ketat pihak berkuasa Arab Saudi terhadap jemaah yang tidak mempunyai visa haji.
Mangsa yang rata-ratanya berusia lingkungan 60-an dan 70-an, termasuk pasangan suami isteri, meluahkan kekecewaan selepas menyedari niat menunaikan haji bertukar pengalaman mencemaskan akibat janji palsu dan kegagalan pihak ejen menyediakan laluan sah.
Meskipun diberi peluang kedua, namun Mohd Naim berharap rakyat Malaysia tidak mengambil mudah dengan perkara itu kerana kerajaan Arab Saudi mungkin akan menarik kembali keistimewaan yang diberikan.
Kita terima dua keistimewaan iaitu pertama adalah inisiatif Laluan Mekkah di mana rakyat di negara ini dapat menyelesaikan semua urusan imigresen hanya di KLIA dan bukannya di Jeddah.
Kedua kerajaan Arab Saudi memberi kad Nusuk kepada jemaah kita ketika mereka masih berada di Malaysia lagi.
Ini adalah dua keistimewaan yang diberikan kepada jemaah Malaysia yang tak dinikmati oleh negara luar. Cuma kita bimbang kalau mereka ini buat perangai seperti itu, mungkin keistimewaan itu akan ditarik semula atau tindakan tegas akan diambil terhadap jemaah kita, katanya.
Dalam pada itu, Mohd Naim berharap kejadian yang menimpa jemaah warga emas itu dapat dijadikan sebagai iktibar supaya rakyat di negara ini lebih berhati-hati ketika memilih pakej atau ejen untuk mengerjakan haji atau umrah.
Harap masyarakat lihat bagaimana sukarnya jemaah haji yang ditipu ini ketika di sana, mereka ditahan, perlu jalan jauh di padang pasir, tapi akhirnya tidak dapat pun buat haji, duit pula lesap.
Jadikan apa yang berlaku ini sebagai pengajaran kepada kita semua supaya tidak melakukan perkara yang sama, katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




