Sasar aset lestari RM28b

Sasar aset lestari RM28b

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Bank Islam Malaysia Bhd menyasarkan nilai pembiayaan dan aset lestari sebanyak RM28 bilion menjelang akhir tahun ini, hasil suntikan program baharu dikenali Ihsan Financing for Business Resilience, Sustainability and Green Transition (IFIRST).

Pelancaran IFIRST sempena Persidangan Kelestarian Bank Islam 2025 menjadi mercu tanda kepada komitmen bank itu untuk mempercepat peralihan syarikat tempatan ke arah ekonomi hijau dan sosial yang lebih inklusif, sejajar kehendak pasaran global.

IFIRST adalah penyelesaian pembiayaan menyeluruh yang direka khas untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta syarikat bersaiz sederhana, bagi menggalakkan amalan perniagaan yang lebih lestari, berdaya tahan dan patuh kepada prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Islam, Datuk Mohd Muazzam Mohamed berkata, inisiatif itu bukan sahaja memberi kemudahan pembiayaan, malah disertakan dengan khidmat sokongan dan nasihat melalui kerjasama firma penasihat Thoughts in Gear (TIG).

Katanya, sasaran baharu RM28 bilion itu adalah peningkatan daripada sasaran asal RM25 bilion dan sebahagian besar pencapaiannya bakal digerakkan menerusi IFIRST.

“Ramai peserta PKS tidak mempunyai keupayaan dan kepakaran untuk memahami serta melaksanakan amalan kelestarian. Melalui IFIRST, mereka akan dibantu mengenal pasti keperluan dan pelan peralihan yang sesuai dari aspek hijau mahupun sosial,” katanya selepas pelancaran Persidangan Kelestarian Bank Islam 2025 dan IFIRST di sini, semalam.

Mohd Muazzam berkata, berbeza dengan syarikat besar yang memiliki pasukan khas kelestarian, kebanyakan PKS berdepan cabaran aliran tunai harian dan tidak dapat memberi tumpuan kepada inisiatif jangka panjang tanpa bimbingan serta fasilitasi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top