'Saya faham perkara ini memang tidak dijangkakan' – Syed Saddiq akur penangguhan keputusan rayuan akhir

'Saya faham perkara ini memang tidak dijangkakan' – Syed Saddiq akur penangguhan keputusan rayuan akhir

am@hmetro.com.my

Putrajaya: Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyifatkan penangguhan keputusan oleh Mahkamah Persekutuan, hari ini kepada 13 Julai depan sebagai perkara di luar jangkaan.

Bekas Menteri Belia dan Sukan itu bagaimanapun berkata, beliau akur perlu menunggu dua minggu lagi bagi keputusan empat pertuduhan bersubahat pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram membabitkan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) yang dihadapinya.

Syed Saddiq berkata, beliau menghormati keputusan panel hakim serta institusi kehakiman negara yang menjadi benteng terakhir bagi individu sepertinya mendapatkan keadilan.

“Bukan melalui jalan pintas ataupun layanan istimewa, tetapi melalui perbicaraan yang berdasarkan fakta dan data di bawah institusi kehakiman itu sendiri.

“Saya faham perkara ini (penangguhan keputusan) memang tidak dijangkakan, sebab itu agak sukar untuk saya berikan apa-apa komen atau ulasan lanjut. Ia bukan sesuatu yang kami rancang atau ada dalam perancangan.

“Kes ini bukanlah kes yang baharu. Sudah enam tahun saya berentap untuk mendapatkan keadilan, untuk membersihkan nama, integriti dan maruah saya. Kalau perlu menunggu lagi dua minggu, saya akur dan patuh,” katanya ketika ditemui di lobi Istana Kehakiman, di sini, hari ini.

Beliau berkata, penangguhan itu tidak pernah dijangkakan oleh pasukan peguamnya kerana mereka hanya membuat persediaan terhadap pelbagai kemungkinan keputusan rayuan.

“Apabila berkaitan dengan isu kesihatan yang kadangkala di luar kawalan, saya secara peribadi memang menghormati keadaan itu, khususnya apabila membabitkan institusi kehakiman yang saya junjung tinggi.

“Saya mesti memberikan tahap hormat yang tertinggi sebagai seorang penggubal undang-undang,” katanya.

Ditanya sama ada beliau akan berkempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, bekas Presiden Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) itu berkata, beliau mahu menumpukan perhatian untuk membersihkan nama, maruah dan integriti beliau terlebih dahulu.

Terdahulu, Mahkamah Persekutuan menangguhkan keputusan rayuan Syed Saddiq terhadap sabitan dan hukuman bagi empat pertuduhan bersubahat melakukan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram membabitkan dana ARMADA kepada 13 Julai depan selepas seorang daripada panel hakim tidak sihat.

Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Seri Abu Bakar Jais memaklumkan, prosiding pada hari ini tidak dapat diteruskan selepas salah seorang anggota panel iaitu Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali, tidak dapat menghadiri prosiding kerana sedang menjalani cuti sakit selama dua hari, iaitu hari ini dan esok.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top