am@hmetro.com.my
SUKAN bola sepak dilihat sebagai salah satu medium untuk menyatukan rakyat dan memperkenalkan nama negara di persada antarabangsa.
Disebabkan itu, Jabatan Muzium Malaysia (JMM) bersama Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menganjurkan Pameran Bola Sepak Merdeka: Satu Inspirasi yang bermula pada 31 Ogos lalu sehingga 31 Disember depan.
Pameran berkenaan dianjurkan sempena Sambutan Hari Kebangsaan ke-69 dan Hari Malaysia 2026 bagi mengetengahkan hubungan antara perkembangan bola sepak dengan sejarah kemerdekaan serta kebijaksanaan Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.
Ia juga mengetengahkan perkembangan bola sepak di Malaysia dari zaman kolonial sehingga era moden.
Pameran berkenaan turut mengangkat sejarah Kejohanan Bola Merdeka yang bukan sahaja antara kejohanan bola sepak berprestij di rantau ini, malah mempunyai kaitan dengan semangat kemerdekaan, pembentukan identiti nasional dan kedaulatan negara.
Bertempat di Galeri 1 JMM, pameran yang dirasmikan Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, Datuk Haslina Abdul Hamid itu menampilkan 140 koleksi berkaitan sejarah bola sepak negara untuk tatapan pengunjung yang hadir.
Antara koleksi menarik yang dipamerkan termasuk trofi Piala FA Malaysia Edisi Kedua, pingat Johan Piala Malaysia 2015, blazer rasmi FAM milik Zulkifli Norbit, jaket pasukan Malaysia yang pernah dipakai Allahyarham Datuk Mohd Mokhtar Dahari pada 1974.
Turut dipamerkan, bola sepak kulit vintaj yang ditandatangani mendiang, Robert Choe serta kasut bola sepak vintaj era 1960-an yang turut ditandatangani Robert Choe serta pelbagai lagi koleksi yang menarik.
Haslina menyifatkan pendekatan yang diambil ini menjadikan pameran lebih dekat dengan masyarakat, khususnya generasi muda, di samping membuka ruang untuk orang ramai melihat sejarah kemerdekaan dan perjalanan pembinaan negara dari perspektif berbeza.
“Kita tidak seharusnya melihat pameran ini sebagai sebuah pameran mengenai bola sepak semata-mata. Ia membawa kita menelusuri sejarah perjalanan sebuah negara melalui lensa sukan.
“Di sebalik koleksi dipamerkan, tersimpan kisah mengenai sebuah negara yang membina identiti, sebuah masyarakat yang mencari titik persamaan dan sebuah bangsa yang sedang menyemai semangat kebangsaan,” katanya.
Beliau berkata, pameran ini juga boleh dilihat sebagai wadah yang menterjemahkan sejarah dan warisan kepada pengalaman pembelajaran mengenai patriotisme dan perpaduan.
“Apabila sejarah bola sepak dipelihara, kita bukan sahaja memelihara sejarah sukan, tetapi turut memelihara memori masyarakat dan pengalaman bersama yang membentuk perjalanan bangsa,” katanya.
Bermula jam 9 pagi hingga 5 petang, pameran ini disasarkan dikunjungi seramai 30,000 pengunjung.
Sebuah podcast yang berkait bola sepak, merdeka dan perpaduan juga dianjurkan menampilkan bekas pemain bola sepak negara, Datuk Zainal Abidin dan Datuk Dollah Salleh sebagai panel jemputan, dengan Abu Bakar Atan bertindak sebagai moderator.
Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) JMM, Mohamad Shawali Badi berkata, setiap koleksi ditampilkan dalam pameran ini menjadi sumber sejarah membawa kisah mengenai pemain, tokoh, pasukan, kejohanan dan penyokong yang sudah mewarnai dunia bola sepak negara.
“Justeru, pameran ini dirangka bagi memberikan pengalaman dan penghayatan sejarah bola sepak negara melalui koleksi, bahan audio visual, segmen interaktif dan kisah tokoh yang pernah mewarnai perjalanan sukan ini,” katanya.
Katanya, muzium turut memainkan peranan penting dalam pendidikan dan pembelajaran melalui pengalaman yang lebih interaktif dan bermakna.
Pengarah Teknikal Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP), Datuk Ong Kim Swee menyifatkan pameran yang dianjurkan ini jarang dilakukan, selain turut percaya ia amat baik kepada generasi muda mendalami bukan sahaja mengenai bola sepak, tetapi bagaimana sukan ini boleh menyatukan seluruh negara.
“Ini satu inisiatif yang cukup baik dan saya harap pameran ini akan diambil kesempatan oleh semua pihak terutama bukan sahaja daripada penyokong bola sepak, tetapi kepada rakyat Malaysia di mana semua informasi daripada awal bola sepak diperkenalkan di negara kita dan sehingga kini ada,” katanya.
Dalam pada itu, Pengarah Malaysia Football Heritage, Norrisyam Ramli berkata, pameran itu penting bagi memperkenalkan sejarah kegemilangan bola sepak Malaysia kepada generasi muda supaya mereka dapat mengenali pencapaian pemain terdahulu.
“Antara artifak yang kami sumbangkan ialah bola era 1930-an, kasut bola era 1960-an dan beberapa piala, kebanyakannya berkaitan Pesta Bola Merdeka pada era 1970-an dan 1980-an,” katanya yang menyumbangkan kira-kira 25 koleksi untuk pameran.
© New Straits Times Press (M) Bhd
