amir_hamid@mediaprima.com.my
RAMAI mungkin menganggap kerjaya sebagai tukang kunci hanya pekerjaan biasa.
Malah, bagi Muhammad Zulfahmi Jamani, 26, sendiri sebelum menjadi tukang kunci, dia pernah bersikap skeptikal pada awalnya terhadap karier itu.
Pemuda yang berasal dari Kampung Felda Ulu Penggeli, Kluang, Johor dan kini menetap di Cyberjaya ini pernah tertanya-tanya sama ada bidang itu benar-benar mampu menyara kehidupan.
Sebelum beralih kerjaya sebagai tukang kunci, Muhammad Zulfahmi pernah bekerja sebagai pekerja am di pasar raya selain pernah menjadi pekerja kedai makan.
Tanggapannya kepada pekerjaan tukang kunci untuk pencarian rezeki berubah positif sepenuhnya apabila dia mula menyelami seni pertukangan kunci secara serius.
Kini, selepas enam tahun berkecimpung dalam bidang itu di bawah bimbingan majikannya, Mat Kunci, Muhammad Zulfahmi membuktikan bahawa perkhidmatan kemahiran ialah aset yang sangat berharga.
Daripada memotong kunci rumah konvensional sehingga memprogramkan cip keselamatan ‘immobilizer’ serta kunci pintar (smart key) menggunakan teknologi mesin pemotong terkini, Muhammad Zulfahmi menguasai setiap kemahiran dengan penuh disiplin.
Bagi Muhammad Zulfahmi, mengendalikan pelbagai jenis kunci memerlukan ketelitian dan fikiran yang tajam, suatu ilmu yang disifatkannya tidak boleh dikuasai jika sambil lewa.
“Lebih daripada sekadar mata pencarian, kerjaya ini sarat dengan nilai kemanusiaan. Saya kerap menerima panggilan kecemasan seawal jam 3 pagi atau 4 pagi daripada kes anak kecil terkunci dalam rumah hingga pemilik kereta yang resah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selepas pulang ke sini disebabkan kunci keretanya hilang.
“Saya rasa lega, kehadiran pada waktu kritikal itu menjadi penyelamat kepada insan yang sedang berada dalam kesusahan. Pengalaman ini mengajar saya bahawa perkhidmatan tukang kunci sentiasa diperlukan secara meluas dan mampu menjana pendapatan yang agak lumayan,” katanya.
Kejayaan dan dedikasi Muhammad Zulfahmi turut didorong sokongan padu isterinya, Nur Fadillah Fatihah Md Nizam, 25, serta gelak tawa anak lelaki mereka, Harith Anaqi yang kini berusia setahun setengah.
Berbekalkan pengalaman yang dikutip saban hari, kemahiran yang semakin mantap dan keazaman yang membara, Muhammad Zulfahmi kini memasang impian yang lebih besar untuk masa depannya.
Dia bercita-cita membuka kedai perniagaan kuncinya sendiri. Perjalanan Muhammad Zulfahmi menjadi bukti jelas bahawa dengan kemahiran, kesabaran dan usaha tanpa jemu, pintu rezeki akan sentiasa terbuka luas.
© New Straits Times Press (M) Bhd
