Kuching: Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil menyeru rakyat negara ini memperkukuh tekad untuk bergerak seiring dan sejalan atau “Segulai Sejalai” dalam bahasa Iban bagi membina Malaysia yang lebih maju, makmur, bersatu serta dihormati di peringkat serantau dan antarabangsa.
Beliau berkata semangat perpaduan, pembangunan dan kemajuan teknologi perlu sentiasa dijadikan jambatan yang menghubungkan rakyat tanpa mengira negeri, kaum, agama dan latar belakang.
“Marilah kita menjadikan kemajuan Sarawak, pembangunan Sabah dan kesejahteraan seluruh rakyat Malaysia sebagai kejayaan bersama,” katanya dalam tayangan video ucapan sempena Sambutan Hari Malaysia 2026 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching malam ini.
Fahmi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2026 berkata dalam era digital kini, kerajaan MADANI terus memastikan rakyat di Sabah dan Sarawak tidak tercicir daripada arus kemajuan teknologi menerusi Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA).
Beliau berkata kemudahan dan pemerkasaan teknologi bukan sekadar menyediakan capaian Internet semata-mata, sebaliknya menjadi pemangkin utama kepada peningkatan taraf hidup masyarakat di kawasan luar bandar dan pedalaman.
“Pendigitalan bukan sekadar capaian Internet tetapi membuka peluang pendidikan, ekonomi dan keusahawanan untuk semua rakyat tanpa terpinggir,” katanya.
Beliau berkata bagi merealisasikan agenda itu, kerajaan turut mempergiat pembinaan menara telekomunikasi serta menambah bilangan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) termasuk 23 NADI di Sarawak yang diluluskan pada 2024 yang kini telah siap dan sedia digunakan.
Fahmi turut mengetengahkan kejayaan NADI Pulau Banggi di Sabah yang berjaya dinobatkan sebagai juara World Summit on the Information Society (WSIS) Prizes 2025 bagi kategori Pembangunan Kapasiti.
“Kejayaan NADI Pulau Banggi di pentas antarabangsa membuktikan faktor lokasi bukan lagi penghalang untuk mencapai kecemerlangan, selain mencerminkan komitmen kerajaan MADANI dalam memastikan tiada rakyat terpinggir daripada arus pendigitalan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
