MCA sedia 'pinjamkan kerusi' – Wee

am@hmetro.com.my

Batu Pahat: MCA bersedia mengadakan perbincangan mengenai pembahagian atau ‘pinjam kerusi’ dalam rakan parti dalam Barisan Nasional (BN) bagi memastikan kemenangan gabungan itu pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Presidennya, Datuk Seri Dr berkata, perkara berkenaan perlu dibincangkan secara bersama dan tidak boleh diputuskan secara sebelah pihak kerana setiap parti mempunyai pertimbangan serta kepentingan masing-masing.

Beliau berkata, MCA mengambil pendekatan realistik dalam menentukan calon dengan mengambil kira kemampuan seseorang untuk memenangi kerusi yang ditandingi BN.

“Bukan soal kalau pinjam boleh bagi balik tetapi kita kena fikir juga untuk menangkan BN. Kalau nak pinjam, kita kena berbincang sesama kita… kita runding.

“Terdapat keadaan tertentu yang memerlukan parti membuat percaturan termasuk memberi laluan kepada calon daripada parti lain dalam gabungan sekiranya berpotensi memberi kemenangan kepada BN,” katanya selepas merasmikan Konvensyen Tahunan MCA Johor di Yong Peng, dekat sini, hari ini.

Dengan memberi contoh penyerahan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong di Melaka kepada UMNO pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2022 lalu, Ka Siong berkata, kerusi terbabit dimenangi gabungan itu selepas calonnya mendapat sokongan dan dikenali masyarakat setempat.

Bagaimanapun, katanya, MCA tidak menetapkan pendekatan kerusi ‘dipinjamkan’ perlu dikembalikan secara automatik, sebaliknya perlu dilihat berdasarkan keadaan semasa dan rundingan antara parti.

“Matlamat utama adalah memastikan BN mempunyai calon yang mampu memenangi kerusi berkenaan, selain mengambil kira penerimaan rakyat terhadap calon.

“Kalau orang itu boleh atau berkebolehan, apa masalahnya? Kita tak tolak,” katanya.

Beliau berkata, keputusan akhir mengenai pembahagian kerusi dan calon bagaimanapun perlu melalui proses rundingan serta diputuskan oleh kepimpinan tertinggi parti dan BN.

“Kita bincang sesama kita…kita ada cara untuk buat apa, macam mana nak jelaskan untuk ‘melangsaikan hutang’ itu,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top