suliati@hmetro.com.my
DALAM dunia serba moden ini, seni sulaman manik Nyonya dilihat semakin pupus dan kurang mendapat perhatian, terutamanya dalam kalangan generasi muda.
Namun, ia tidak melunturkan semangat Pengasas ManekNya dan Pemenang Shell LiveWire 2023, Lee Swee Lin, yang bertekad menghidupkan dan memelihara kembali warisan budaya ini.
Bersama adiknya, Swee May, usahawan berasal dari Melaka ini menubuhkan ManekNya, sebuah jenama yang turut dikenali sebagai Manek-Nyonya atau ‘manik seorang ibu’ yang beroperasi di Singapura dan Malaysia sejak Ogos 2022.
Menurutnya sebagai anak jati daripada keluarga Baba Nyonya, dia merasakan bertanggungjawab untuk memelihara dan menghidupkan semula warisan ini sebelum ia hilang ditelan zaman.
“Bagi saya, potensi besar dalam seni manik ini, bukan sahaja sebagai satu bentuk seni tradisional, tetapi juga sebagai medium ekspresi moden yang boleh digabungkan dengan fesyen, seni kontemporari dan pendidikan.
“Saya juga percaya bahawa dengan pendekatan yang segar dan inklusif, seni ini bukan sahaja boleh dikekalkan, malah boleh terus berkembang serta memberi manfaat kepada komuniti,” katanya.
Swee Lin berkata, matlamat utama mereka adalah untuk mentakrif semula dunia seni dan fesyen dengan menggabungkan elemen kontemporari bersama warisan kaya seni manik Nyonya.
“Misi kami adalah untuk memelihara legasi seni manik Peranakan, satu warisan budaya yang kian pupus di Malaysia.
“Justeru, di ManekNya, kami mengintegrasikan pendidikan seni melalui pendekatan seni campuran (mixed-media) seperti batik dan sulaman manik.
“Usaha ini bertujuan untuk menghasilkan ekspresi seni yang unik dan inovatif, yang mampu memikat hati khalayak serta melangkaui batasan tradisional,” katanya.
Komited untuk terus mengangkat seni warisan Nyonya tidak hanya membantu perniagaannya berkembang, malah diangkat sebagai pemenang Program Shell LiveWire 2023.
Kemenangan ManekNya dalam pertandingan itu bukan sekadar pencapaian bermakna, ia menjadi titik perubahan yang membuka lembaran baharu dalam perjalanan perniagaannya.
Kejayaan itu juga adalah bukti bahawa seni warisan seperti sulaman manik Nyonya bukan sahaja relevan, tetapi juga berharga dalam dunia keusahawanan moden.
Mengimbau kembali pembabitannya dalam Shell LiveWire, Swee Lin berkata dia tahu mengenai program itu melalui kumpulan WhatsApp serta rakannya.
Menurutnya, keputusan untuk menyertainya diambil selepas melihat program ini berpotensi besar membantu dalam perkembangan perniagaannya.
Justeru, apabila dinobatkan sebagai salah satu pemenang
Shell LiveWire 2023, beliau sangat bersyukur dan terharu.
“Program Shell LiveWire 2023 adalah pertandingan pertama yang kami sertai sejak memulakan ManekNya, dan ia juga menjadi kemenangan pertama kami.
“Ia adalah satu pengiktirafan yang amat bermakna bagi saya dan pasukan ManekNya, kerana ia membuktikan usaha kami dalam mengangkat seni warisan tempatan mendapat perhatian dan sokongan.
“Kemenangan ini juga memberi semangat baharu untuk terus berinovasi dan memperluaskan impak sosial melalui seni manik Nyonya sekali gus membuka lebih banyak peluang jaringan, pembelajaran dan kolaborasi untuk kami bergerak lebih jauh ke hadapan,” katanya.
Bagi usahawan muda ini, program Shell LiveWire ini bukan sekadar pertandingan tetapi ‘lubuk’ ilmu dalam perniagaan.
Katanya, menerusi pembabitannya dalam program ini, banyak ilmu yang dipelajarinya terutama berkaitan strategik dalam membangunkan perniagaan, terutama dari segi perancangan, pembentangan idea dan membina model perniagaan yang mampan.
“Program ini juga memberi pendedahan yang lebih mendalam bagaimana untuk menilai kekuatan dan cabaran dalam perniagaan kami secara objektif.
“Saya juga mempelajari pentingnya komunikasi berkesan, cara menyampaikan nilai perniagaan dan impak sosial yang lebih jelas, serta membina rangkaian bersama usahawan lain
yang mempunyai semangat dan visi sama.
“Sokongan daripada mentor, fasilitator dan jaringan peserta lain juga membuka banyak ruang untuk saya berkembang, berinovasi dan membina kerjasama baharu,” katanya.
Sejak dinobatkan sebagai pemenang, ManekNya melangkah lebih jauh bukan saja menembusi pasaran runcit di Malaysia dan Singapura tapi juga meraih peluang kolaborasi eksklusif dengan jenama mewah Cartier Singapura.
Kerjasama yang cukup bermakna itu secara tidak langsung membuka lembaran baharu dalam membawa seni warisan ke pentas lebih eksklusif dan antarabangsa.
“Kemenangan ini benar-benar menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ManekNya dari segi jenama, impak sosial, dan peluang kolaborasi.
“Oleh itu, saya sangat menggalakkan usahawan pemula di luar sana menyertai program Shell LiveWire.
“Ia tidak hanya platform untuk membina asas perniagaan yang kukuh dan memperluas rangkaian dengan usahawan lain tetapi juga bimbingan dari mentor berpengalaman,” katanya yang pernah disenaraikan sebagai Forbes 30 Under 30 Asia (2018) dan menerima pengiktirafan THE EDGE Inspiring Young Leaders Award, Prestige 40 Under 40 Malaysia, serta ZICO ASEAN 40 Under 40.
Sesi ‘bootcamp’ menjadi antara pengalaman paling bermakna buat Swee Lin ialah sepanjang pembabitannya dalam program Shell LiveWire.
Katanya bootcamp itu bukan sekadar sesi latihan biasa, tetapi ia satu pengalaman yang betul-betul membuka mata dan minda.
“Saya bukan saja berpeluang belajar secara terus daripada mentor berpengalaman, tapi juga dapat berinteraksi rapat dengan barisan usahawan lain yang penuh semangat dan berwawasan.
“Suasana dia seronok dan dinamik ini sangat memberi inspirasi sekali gus mengingatkan saya bahawa walau mempunyai latar belakang perniagaan yang berbeza, kami berkongsi matlamat yang sama iaitu untuk membawa perubahan positif melalui perniagaan.
“Pengalaman sepanjang bootcamp itu juga membantu saya melihat semula perniagaan dari sudut yang berbeza dan lebih strategik,” katanya.
Swee Lin berkata, ramai orang ada idea, tetapi menjadikan idea itu satu realiti adalah perkara yang paling mencabar dan paling penting.
“Namun, jangan tunggu sehingga semuanya ‘sempurna’ untuk bermula. Mulakan dengan apa yang ada, di mana anda berada, dan terus belajar sepanjang perjalanan.
“Berani mencuba, jangan takut gagal dan sentiasa terbuka untuk menerima maklum balas. Apa yang membezakan seorang usahawan berjaya ialah tindakan, ketekunan dan kesungguhan untuk membawa impian menjadi kenyataan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




