am@hmetro.com.my
Besut: Seorang tekong bersama 10 penumpang dan dua pembantu bot berdepan detik cemas apabila bot candat dinaiki mereka dipanah petir di perairan Pulau Perhentian, malam tadi.
Komander Operasi Bomba, Mohd Zailani Abdullah, berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu kira-kira jam 8.53 malam sebelum pasukan bomba dan polis bergegas ke lokasi.
Katanya, dalam kejadian itu seorang tekong Mohd Syukrillah Abd Rahim, 44, dari Bachok, Kelantan cedera di belakang kepala dan badan akibat terkena serpihan bumbung bot yang pecah selepas antena alat komunikasi bot dipanah petir.
“Mangsa yang kebetulan berada berhampiran tempat mengemudi bot mengalami kecederaan.
“Dia dibawa ke Klinik di Pulau Perhentian sebelum dirujuk ke Hospital Besut untuk menerima rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi hari ini, di sini.
Katanya, difahamkan mangsa kini dibenarkan pulang selepas menerima rawatan di Hospital Besut.
“Manakala 10 penumpang dan dua pembantu bot di atas bot yang sama diselamatkan oleh bot nelayan lain yang kebetulan di lokasi.
“Bot rosak kemudian ditunda keluar dari lokasi kejadian oleh Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia Terengganu dengan bantuan bot nelayan dibawa balik ke Jeti Kuala Besut,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd



