Draf perjanjian Iran-AS mungkin ditandatangani beberapa hari lagi – Abbas Araghchi

Draf perjanjian Iran-AS mungkin ditandatangani beberapa hari lagi – Abbas Araghchi

Tehran: Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi pada Jumaat memaklumkan draf perjanjian dengan Amerika Syarikat (AS) akan ditandatangani secara ‘jarak jauh’ sebaik sahaja dimuktamadkan, dan menyatakan ia boleh berlaku dalam tempoh beberapa hari lagi.

“Sebaik sahaja peringkat akhir rundingan kami selesai, perjanjian ini akan ditandatangani dan diumumkan.

“Pada peringkat awal, penandatanganan akan dilakukan secara digital. Setiap pihak akan menandatangani dari lokasi masing-masing.

“Selepas itu, akan diumumkan bahawa memorandum persefahaman ini sudah ditandatangani oleh kedua-dua pihak,” kata Araghchi dalam wawancara dengan televisyen negara.

“Ini boleh berlaku dalam tempoh beberapa hari akan datang. Saya sangat optimis,” katanya.

Sebelum ini, Araghchi berkata, rangka kerja digelar ‘Memorandum Persefahaman Islamabad’ bertujuan menamatkan perang dengan AS yang tercetus pada 28 Februari lalu, ‘tidak pernah sedekat ini’ dengan pemeteraian.

Khamis lalu, Presiden AS, Donald Trump berkata, beliau membatalkan serangan yang dirancang ke atas Iran dan mendakwa perjanjian untuk menamatkan perang itu mungkin ditandatangani tidak lama lagi.

Dalam wawancara itu, Araghchi berkata, beliau akan mengumumkan butiran rangka kerja itu selepas ia dimeterai dan dimuktamadkan, selain menegaskan bahawa pendedahan awal boleh menjejaskan proses penandatanganan perjanjian.

Beliau berkata, draf perjanjian itu merangkumi penamatan sekatan laut AS terhadap pelabuhan-pelabuhan Iran yang berkuat kuasa sejak 13 April lalu serta pengaturan berkaitan pengurusan strategik Selat Hormuz.

Laluan perkapalan melalui Selat Hormuz, yang juga laluan perdagangan global amat penting berada di bawah kawalan Iran sejak tercetusnya perang dengan AS dan Israel pada 28 Februari lalu.

Iran yang hanya membenarkan sejumlah kecil kapal melalui selat itu menegaskan bahawa semua kapal perlu mendapatkan kebenaran daripada angkatan tenteranya sebelum melintasi kawasan terbabit.

“Sekatan laut itu mesti ditarik balik sepenuhnya. Itu adalah perkara pertama yang disebut dalam perjanjian ini,” kata Araghchi.

“Iran sudah membuat keputusan tegas bahawa pentadbiran Selat Hormuz tidak lagi akan sama seperti sebelum ini,” katanya yang memaklumkan perbincangan mengenai perkara itu masih berlangsung dengan Oman.

Beliau berkata, Selat Hormuz adalah antara ‘instrumen pencegahan utama’ Iran.

Araghchi turut mengesahkan bahawa butiran program nuklear Iran termasuk stok uranium diperkaya tahap tinggi yang menjadi isu sensitif bagi Washington akan dibincangkan dalam tempoh 60 hari selepas rangka kerja itu ditandatangani.

“Pendirian kami sentiasa jelas bahawa satu-satunya cara untuk menguruskan stok bahan yang diperkaya adalah dengan mencairkannya di dalam Iran,” katanya.

Dalam wawancara itu, beliau turut memberi amaran terhadap sebarang usaha untuk menggagalkan perjanjian berpotensi itu khususnya oleh Israel.

“Saya perlu berkata secara terus terang bahawa perjanjian ini mempunyai musuh dan yang paling utama ialah rejim Zionis yang sedang mencari alasan untuk menggagalkannya,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top