nurul.hidayah@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: MARESMAF Wind Orkestra (MAWO) dari Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Ulul Albab FELDA Trolak memenangi anugerah emas ‘Golden Diploma Award’ dalam kategori penyertaan ‘middle class’ di International Festival of Wind OrchestraPrague 2025.
Kemenangan itu sekali gus menyaksikan MAWO berjaya menewaskan tujuh kumpulan orkestra dari enam negara.
Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) dalam hantaran dimuat naik di Facebook, hari ini, memaklumkan anugerah itu diberi berdasarkan pemarkahan tertinggi oleh juri kepada MAWO selepas menilai kesemua lapan kumpulan orkestra dalam pertandingan kategori itu.
“Anugerah lain selepas Golden Diploma Award adalah ‘silver’ dan diikuti ‘bronze’.
Terdapat 3 kategori orkestra yang dipertandingkan pada tahun ini iaitu bermula dengan lower class, middle class hingga ke higher class.
“Penentuan kategori dibuat melalui tahap kesukaran muzik, kecekapan teknikal dan pengalaman kumpulan orkestra terbabit,” katanya.
Menurutnya, International Festival of Wind Orchestra Prague 2025 itu disertai 13 kumpulan orkestra dari 11 negara termasuk Malaysia yang satu-satunya wakil dari Asia, manakala 10 lagi penyertaan dari negara Eropah.
Kejayaan itu turut mendapat perhatian Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil yang mengucapkan tahniah kepada MAWO.
“Syabas dan tahniah saya ucapkan buat MAWO dari MRSM Ulul Albab FELDA Trolak kerana memenangi anugerah emas ‘Golden Diploma Award’ di Prague hari ini!
“Satu kebanggaan buat keluarga besar FELDA – Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan khususnya dan rakyat Malaysia amnya!
“Cuba bayangkan, anak-anak FELDA ini baru sahaja menghidupkan semula orkestra ini, tapi sudah berjaya membuktikan bahawa anak Felda benar-benar mendonia!,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
© New Straits Times Press (M) Bhd




