Malik Muhamad
sukan@hmetro.com.my
Kuala Terengganu: Terengganu FC (TFC) hampir pasti ‘merantai’ dua bekas pemain Sri Pahang FC, Baqiuddin Shamsudin dan Saiful Jamaluddin bagi memperkuatkan pasukan dalam mengharungi kancah Liga Malaysia (Liga M) musim 2025/2026.
Menurut sumber Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT), bekas pemain skuad Tok Gajah itu sudah pun bersetuju untuk menyarung jersi skuad Penyu dan kini dalam proses akhir untuk menyiapkan dokumen.
“Dua bekas pemain Sri Pahang FC iaitu Saiful dan Baqiuddin sudah pun bersedia untuk menyarung jersi pasukan TFC pada musim baharu Ogos nanti.
“Proses urusan seterusnya untuk melengkapkan dokumen kedua-dua pemain berkenaan berjalan dengan lancar selain pemain itu akui begitu teruja untuk beraksi bersama TFC selepas skuad Sri Pahang FC ‘tutup kedai’ pada musim baharu nanti.
“Namun kami tidak boleh umumkan namanya secara rasmi lagi ketika ini memandangkan urusan belum selesai sepenuhnya, jika semuanya selesai pengurusan TFC akan maklumkan secara rasmi,” kata sumber itu kepada NSTP ketika dihubungi.
Terdahulu Baqiuddin, 31 yang beraksi di posisi sayap dan Saiful, 23 yang bermain di jentera tengah bertahan heboh diperkatakan dalam media sosial mengaitkannya beraksi bersama skuad Penyu kendalian Badrul Afzan Razali.
“Terima kasih peminat setia skuad Penyu yang sudah dapat ‘menghidu’ kehadiran dua bekas pemain Sri Pahang FC itu, pada masa sama kami berharap peminat bersabar dan menunggu pengumuman secara rasmi paling lewat pada awal bulan depan,” kata sumber itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




