Bellingham jalani pembedahan, Rudiger dihina pemain lawan

Bellingham jalani pembedahan, Rudiger dihina pemain lawan

Charlotte: Pemain tengah Real Madrid dan England, Jude Bellingham hari ini mengesahkan dia akan menjalani pembedahan bagi menangani masalah lama pada bahu selepas tamat kempen Piala Dunia Kelab di Amerika Syarikat.

Pemain berusia 21 tahun itu menanggung kecederaan tersebut sejak 2023 dan terus bermain walaupun dalam keadaan tidak selesa untuk kelab dan negaranya.

Real Madrid menetapkan pembedahan akan dilakukan selepas kejohanan yang dijadualkan tamat hujung bulan ini.

Bellingham, yang menyertai Real Madrid dari Borussia Dortmund awal tahun ini, sering dilihat memakai balutan pada bahunya ketika beraksi.

Kecederaan itu mula tercetus dalam perlawanan menentang Rayo Vallecano, yang menyebabkan dia terlepas dua perlawanan bersama Real Madrid dan England pada penghujung 2023.

Bercakap selepas kemenangan 3-1 Real Madrid ke atas Pachuca dari Mexico dalam Piala Dunia Kelab, Bellingham menjelaskan keputusannya untuk meneruskan pembedahan.

“Saya dah sampai satu tahap di mana kesakitannya tidak terlalu teruk, tapi saya dah muak bermain dengan balutan,” katanya kepada wartawan.

“Saya hilang banyak berat badan sebab terlalu banyak berpeluh, dan saya putuskan untuk menjalani pembedahan selepas kejohanan ini. Saya dah tunggu lama dan semakin hilang sabar tapi pasukan fisioterapi dan doktor memang luar biasa. Saya cuma nak rasa bebas,” tambahnya.

Walaupun mengalami kesakitan, Bellingham tetap menjadi tonggak utama untuk Real Madrid sejak menyertai kelab itu pada musim panas 2023 dari Borussia Dortmund, dan membantu gergasi Sepanyol itu memenangi kejuaraan LaLiga dan Liga Juara-Juara dalam musim pertamanya. Tempoh sebenar bagi Bellingham untuk kembali pulih masih belum diketahui.

Dalam pada itu, jurulatih Madrid, Xabi Alonso, berkata pemain pertahanannya, Antonio Rudiger, mengadu tentang insiden berbaur perkauman pada penghujung perlawanan menentangPachuca.

Rudiger kelihatan jelas marah dengan pemain Pachuca, Gustavo Cabral, sejurus tamat perlawanan dan kemudian bercakap dengan pengadil dari Brazil, Ramon Abatti Abel.

Ketika ditanya mengenai insiden itu dalam sidang media selepas perlawanan, Alonso berkata: “Toni memberitahu kami sesuatu, kami menyokong Toni dan kami akan lihat apa yang berlaku.

“Saya rasa protokol FIFA telah diaktifkan untuk menyiasat perkara ini, dan jika ia benar-benar berlaku, semua tindakan sewajarnya perlu diambil dan kami menyokong Antonio kerana perkara ini tidak boleh diterima.

“Dalam bola sepak, tidak ada ruang untuk perkauman, dan jika ia berlaku, maka tindakan mesti diambil. Ini yang diberitahu oleh Antonio kepada kami dan kami mempercayainya. Ia sedang disiasat sekarang,” katanya.

Jurulatih Pachuca, Jaime Lozano, turut ditanya mengenai insiden itu tetapi beliau menyatakan tidak mengetahui apa yang telah berlaku.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top