Minjee juara PGA Wanita

Minjee juara PGA Wanita

Los Angeles, Amerika Syarikat: Pemain golf Australia, Minjee Lee mencatat keputusan dua atas par 74 untuk menjuarai Kejohanan PGA Wanita, awal pagi tadi sekali gus merangkul gelaran utama ketiganya dengan kelebihan tiga pukulan pada satu lagi hari yang mencabar di Frisco, Texas.

Pemain berusia 29 tahun dari Perth itu menambah gelaran kepada Kejuaraan Evian 2021 dan Terbuka Wanita AS 2022 selepas menamatkan kejohanan dengan jumlah empat bawah par, 284.

Pemain Amerika Syarikat (AS) Auston Kim dan wakil Thailand Chanettee Wannasaen berkongsi tempat kedua dengan satu bawah par, 287.

“Banyak kesabaran diperlukan hari ini,” kata Minjee yang memulakan hari terakhir dengan kelebihan empat pukulan selepas satu pusingan cemerlang tanpa bogey semalam tetapi membuat tiga bogey dalam enam lubang pertama.

“Saya rasa ada pukulan yang menjadi, dan ada yang tidak,” katanya. “Saya hanya berpegang pada pelan permainan. Ia betul-betul satu pertempuran dengan diri sendiri, terutamanya dengan keadaan yang sangat sukar sepanjang minggu bukan hanya hari ini.”

Lee membuat birdie pertamanya pada lubang par-lima kesembilan, apabila dia terlepas green tetapi melakukan chip ke jarak dua kaki.

Dia kehilangan satu pukulan di lubang ke-10, namun berjaya menyelamatkan par dengan putt sembilan kaki yang mendebarkan di lubang ke-13, sebelum menghasilkan birdie di lubang ke-14 dengan putt sembilan kaki untuk kembali mendahului dengan tiga pukulan.

Dia menambah satu lagi birdie di lubang ke-15 selepas melakukan putt sejauh lima setengah kaki dan kekal mengawal permainan walaupun melakukan bogey di lubang ke-16.

Sepanjang perlawanan, Minjee berkata dia sentiasa memerhatikan kedudukan pesaing terdekat sambil cuba mengekalkan fokus dalam cuaca panas dan berangin di Fields Ranch East di Frisco, utara Dallas.

“Saya tengok hampir setiap papan pendahulu dan saya tahu kedudukan saya sepanjang hari,” katanya.

“Saya hanya semak skor dan kemudian kembali fokus ke setiap pukulan dan cuba laksanakannya sebaik mungkin. Saya benar-benar bermain mengikut kemampuan diri hari ini.”

Sementara itu, pemain nombor dua dunia, Jeeno Thitikul yang mendahului dua pusingan pertama dan memulakan hari terakhir di tempat kedua dengan ketinggalan empat pukulan di belakang Minjee, gagal menemui rentak permainan apabila

menutup kempen dengan tiga atas par 75 dan berkongsi tempat keempat dengan Chisato Iwai dari Jepun, yang mencatat skor 71 (satu bawah par).

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top