am@hmetro.com.my
Georgetown: Seorang murid Tahun Enam sebuah sekolah di daerah Timur Laut di sini, didakwa menjadi mangsa penghinaan, keganasan fizikal dan ugutan daripada gurunya.
Murid lelaki berkenaan dikatakan dipukul pada bahagian muka dan tangan menggunakan kasut sementara bahagian kiri muka pula dipukul dengan bekas pensil selain buku ke dibaling atas meja mangsa.
Ketua Biro Perkhidmatan Awam dan Aduan MCA Pulau Pinang Lim Swee Bok berkata, maklumat berkenaan diterima selepas wanita berusia 35 tahun yang juga ibu murid terbabit tampil membuat aduan di pejabatnya.
Katanya, kejadian didakwa berlaku pada 19 Jun lalu selepas murid berkenaan selesai membuat persembahan bacaan dalam perhimpunan sekolah dan guru terbabit dikatakan mengkritik persembahannya di hadapan kelas.
Guru berkenaan didakwa turut membuat kenyataan merendah-rendahkan mangsa dengan membandingkan bacaannya seperti seorang ‘mualaf.’
“Menerusi laporan yang dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Daerah Timur Laut, ibu bapa mangsa juga mendakwa guru itu memukul muka dan tangan murid menggunakan kasut, memukul bahagian kiri muka dengan bekas pensil dan membaling buku ke atas meja murid.
“Sehubungan itu, kami menggesa pihak berkuasa khususnya Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) supaya mengambil perkara ini dengan serius, terutama berkaitan dengan keselamatan dan kebajikan murid,” katanya dalam kenyataan media di sini, semalam.
Difahamkan, guru terbabit turut mengeluarkan kata tidak wajar seperti ‘get out of my class’ (keluar dari kelas saya) dan kejadian berkenaan menyebabkan murid itu malu hendak ke sekolah.
Ibu murid juga didakwa sudah ke sekolah bagi mendapatkan penjelasan namun dia dimaklumkan pihak sekolah bahawa Guru Besar masih bercuti dan siasatan belum dimuktamadkan.
Menurut Lim, pihak yang berkaitan diminta mengambil langkah perlindungan segera seperti halangan interaksi langsung, penyiasatan tidak berat sebelah dan melindungi murid daripada tindakan balas atau kemudaratan selanjutnya.
“Sekolah sepatutnya menjadi tempat selamat kepada kanak-kanak belajar dan membesar, tiada seorang pun kanak-kanak akan dikenakan keganasan, penghinaan atau ugutan dalam persekitaran pendidikan.
“Kami tidak mahu mendahului siasatan namun menuntut ia dijalankan secara adil, telus dan tidak berat sebelah malah keselamatan dan kesejahteraan emosi murid mesti diutamakan,” katanya lagi.
Lim juga menggesa pihak JKNPP supaya bertindak segera dan bertanggungjawab, serta mengambil langkah perlindungan yang sesuai.
“Diharap perkara ini dikendali secara adil serta telus dan pihak berkuasa mengambil peluang ini menilai semula mekanisme pengendalian aduan dan perlindungan murid di sekolah.
“Kanak-kanak datang ke sekolah bagi belajar dan membesar, bukan untuk berasa takut terhadap penghinaan, ugutan atau keganasan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
