sukan@hmetro.com.my
Langkawi: Pelari negara menguasai larian ultra 100 kilometer (km) kategori gabungan denai dan jalan raya bagi lelaki dan wanita dalam Langkawi International Ultra Run (LIUR) 2025 apabila mendominasi tiga tempat teratas.
Pada acara itu, semua peserta masing-masing berlepas pada 6 petang semalam dan menamatkan larian di Dataran Lang, di sini, awal pagi tadi.
Pelari berpengalaman Ku Seng Lip, 46, dari Selangor muncul juara 100km Denai/Jalan Raya Lelaki selepas mencatat 14 jam 53 minit dan 59 saat, mengatasi pencabar terdekatnya Wong Wai Seng, 34, (17:22:56s).
Tempat ketiga kategori itu disandang Lee Yi Siang, 48, dengan catatan 17:33:15s.
Seng Lip berkata, lariannya terganggu akibat latihan yang tidak mencukupi, apabila mengalami kekejangan otot dan terpaksa berhenti seketika selepas berlari kira-kira 11km pertama.
“Sebelum ini saya sudah biasa dengan larian jarak jauh, tetapi acara lasak seperti ini dengan menggabungkan segmen ultra denai dan jalan raya menjadi pengalaman pertama yang sangat mencabar.
“Menamatkan larian sejauh 100km dalam masa kira-kira 17 jam sudah cukup baik bagi saya, walaupun sasaran asal lebih rendah,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian hadiah di Dataran Lang di sini, hari ini.
Pelari Sabah, Vivian Tong, 45, menjuarai kategori Wanita dengan catatan 16:52:55 saat, mengatasi rakan senegara Lim Chee Lai, 55, (19:10:33s) dan Nguyen Thi Ngoc Phuong, 33, dari Vietnam (20:33:54s).
Menurut Vivian, dia sudah bersedia lebih awal kerana mengetahui pelari ultra denai perlu bersedia mendepani pelbagai cabaran besar termasuk trek tidak rata, laluan hutan mencabar serta cuaca tidak menentu.
“Peserta bukan sahaja perlu menempuh keletihan fizikal dan kesakitan, tetapi juga tekanan mental yang tinggi. Jadi motivasi dalaman amat penting untuk terus mara hingga ke garisan penamat,” katanya ketika ditemui, di sini.
Kategori gabungan ultra denai dan jalan raya itu diperkenalkan buat julung kali dalam kejohanan LIUR edisi kali ini, yang dianjurkan oleh Lumen Sports dengan sokongan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA).
Seramai 1,000 peserta dari 26 negara mengambil bahagian dengan sembilan kategori dipertandingkan, termasuk 100km, 50km (denai dan jalan raya), 20km menegak, 21km, 10km, 5km jalan raya serta Ultra Kids (2km dan 500 meter).
© New Straits Times Press (M) Bhd




