Nak pulih lepas trauma bukan mudah – Gretchene

Nak pulih lepas trauma bukan mudah – Gretchene

syafil.syazwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Penyanyi baharu, Gretchene Quirina yang pernah melalui fasa hitam dalam sebuah hubungan percintaan toksik, menyarankan agar mereka yang melalui pengalaman sama sehingga trauma, merujuk kepada pakar bertauliah.

Menurut Gretchene, proses untuk sembuh daripada trauma bukanlah sesuatu yang mudah dan memerlukan kekuatan mental serta sokongan sewajarnya.

“Sebenarnya, untuk benar-benar sembuh daripada trauma, seseorang itu memang perlu mendapatkan rawatan daripada pakar psikiatri.

“Itulah yang sepatutnya dilakukan. Jadi, kepada sesiapa di luar sana yang mungkin melalui pengalaman yang sama seperti saya, pernah berada dalam hubungan toksik, pergilah berjumpa dengan pakar,” katanya kepada Harian Metro.

Namun, Gretchene juga faham, tidak semua orang bersedia untuk menjalani rawatan secara formal, dan memilih untuk sembuh mengikut cara sendiri antaranya, berkarya.

“Cara saya memilih untuk menyembuhkan diri adalah dengan berkongsi kisah hidup saya melalui penulisan lagu dan terus berkarya. Saya tahu di luar sana, ada individu yang mungkin tidak selesa atau takut untuk berjumpa dengan pakar.

“Mungkin melalui lagu, mereka boleh rasa sedikit terubat daripada kesedihan, trauma atau apa sahaja yang mereka sedang alami,” katanya.

Tambah penyanyi berusia 28 tahun itu, masih ramai yang berasa takut untuk mendapatkan bantuan kerana stigma terhadap isu kesihatan mental masih wujud dalam masyarakat.

“Ramai masih takut, mungkin kerana stigma. Tapi sebenarnya, menjaga kesihatan mental adalah sesuatu yang normal dan bukan sesuatu yang perlu kita malu atau sembunyikan,” katanya.

Berkongsi harapannya, Gretchene menasihatkan orang ramai agar tidak terus terperangkap dalam situasi yang memudaratkan emosi dan mental.

“Untuk semua di luar sana, jangan rasa bersalah atau takut untuk mendapatkan bantuan. Tolong bantu diri sendiri. Dapatkan rawatan daripada pakar.

“Jangan takut juga untuk keluar daripada hubungan yang toksik. Di luar sana masih ada ramai orang baik. Percayalah, suatu hari nanti kamu akan bertemu dengan pasangan yang benar-benar menghargai dan menyayangi kamu,” katanya.

Terbaharu, Gretchene hadir dengan lagu yang meniup semangat kepada mereka yang melalui pengalaman hubungan toksik, berjudul Aku Bodoh ciptaan Ryenald Guntabid, Melakaboy dan Sa.tugram.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top