PRN Johor: BN mampu pertahan DUN Kota Iskandar, rampas beberapa kerusi lain – Johari

PRN Johor: BN mampu pertahan DUN Kota Iskandar, rampas beberapa kerusi lain – Johari

am@hmetro.com.my

Iskandar Puteri: Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani yakin Barisan Nasional (BN) mampu mempertahankan kerusi DUN Kota Iskandar di sini, selain merampas semula beberapa kerusi lain di kawasan Iskandar Puteri sekiranya jentera parti terus bergerak secara tersusun dan bersatu.

Katanya, kekuatan BN bukan sahaja terletak pada rekod pencapaiannya sebagai parti yang pernah membangunkan negara, malah turut disokong oleh calon-calon yang mempunyai pendekatan berteraskan rakyat.

“Kalau kita tengok calon-calon ini, saya nampak mereka lebih sentrik kepada rakyat. Sebab itu, apabila parti mempunyai rekod prestasi dan calon pula baik, ditambah dengan kekuatan jentera seperti malam ini, saya cukup yakin kita boleh mempertahankan kerusi yang kita menang,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan jentera pilihan raya Iskandar Puteri di sini hari ini.

Johari berkata sejarah BN perlu terus dihayati oleh seluruh ahli dan penyokong kerana parti itu dibina atas semangat kerjasama pelbagai kaum yang bersama-sama membangunkan negara.

“Barisan Nasional membina negara bersama-sama semua kaum. Ada masyarakat Melayu, Cina dan India. Daripada asas itu, kita membangunkan negara serta ekonomi,” katanya.

Johari turut menegaskan setiap pemimpin baharu perlu mengambil iktibar daripada kejayaan dan kelemahan pemimpin terdahulu bagi memastikan parti terus relevan.

Sementara itu, bakal calon DUN Kota Iskandar, Datuk Pandak Ahmad akan menjadi jambatan kepada keresahan rakyat dalam membangunkan penempatan di kawasan itu.

“Orang muda ini menaruh keyakinan dari segi pendidikan, peluang pekerjaan dan mereka memerlukan rumah mampu milik, ini antara strategi selepas menang pada PRN lalu”, katanya.

Pandak yang sebelum ini menyandang kerusi DUN itu, dalam perancangan akan menubuhkan 300 unit rumah mampu milik khusus buat belia.

Bagi calon DUN Skudai, Tan Hiang Kee, beliau berhasrat ingin menyelesaikan isu banjir dan memperbaiki infrastruktur di kawasan tersebut.

“Perkara yang saya akan lakukan apabila menang adalah menyelesaikan masalah banjir dan masalah bekalan air di Skudai ini”, katanya.

Tan sebelum ini pernah bertanding di kerusi DUN Perling pada PRN 2022.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top