Akauntan didenda RM3,300 'skodeng' teman serumah

Akauntan didenda RM3,300 'skodeng' teman serumah

surayaroslan@mediaprima.com.my

Ampang: Padah merakam teman serumah lelakinya mandi dengan peranti kamera tersembunyi, seorang lelaki didenda RM3,300 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Majistret Amalina Basirah Md Top menjatuhkan hukuman itu terhadap akauntan, Muhammad Fahmi Akmal Zakaria, 30, selepas lelaki itu mengaku bersalah atas pertuduhan yang disabitkan.

Sekiranya gagal membayar jumlah itu, tertuduh boleh dipenjara selama lima bulan dan tertuduh membayar jumlah denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mengaibkan kehormatan seorang lelaki berusia 31 tahun dengan cara merakam video mangsa sedang mandi dengan maksud mengganggu kesantunannya.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah pangsapuri di Taman Ukay Perdana di sini jam 8.10 pagi, 20 Jun lalu yang didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan.

Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Terdahulu, peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Mohd Azizi Darus memohon hukuman denda minimum atas alasan tertuduh yang bekerja sebagai akauntan dan berpendapatan RM2,500 sebulan perlu menanggung keluarga selain anak guamnya memaklumkan perbuatan itu hanya gurauan memandangkan dia dan mangsa teman serumah.

Mendengar rayuan itu, Timbalan Pendakwa Raya Norhidayah Abdullah Sani memohon hukuman berbentuk pencegahan dengan mengambil kira fakta kes bagi memberi pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat.

“Kepentingan awam perlu diutamakan. Perkara itu bukan gurauan, sekiranya video tersebar ia boleh mengaibkan mangsa,” katanya.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, mangsa yang sedang mandi di rumah sewanya melihat cahaya berkelip di rak perkakas mandi sebelum mendapati terdapat sebuah peranti kamera tersembunyi dan mengesyaki ia perbuatan rakan serumahnya.

Mangsa kemudian mengambil komputer riba dan wayar pemacu USB milik tertuduh dan mendapati peranti kamera itu mempunyai kad memori mengandungi video mangsa sedang mandi dalam keadaan bogel.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top