Iqbal Zulkefli Ikhlas Teman Siti Jamumall Jalani Pemeriksaan Kandungan, Tepis Dakwaan Menangguk Di Air Keruh

Iqbal Zulkefli Ikhlas Teman Siti Jamumall Jalani Pemeriksaan Kandungan, Tepis Dakwaan Menangguk Di Air Keruh

Tindakan penyanyi dan ahli perniagaan, Iqbal Zulkefli yang menemani usahawan kontroversi Siti Jamumall ke sebuah pusat rawatan bagi menjalani pemeriksaan kandungan mencetus perhatian ramai hingga menimbulkan spekulasi dan buah mulut warganet.

Ada yang memuji gandingan Iqbal dan Siti serta mengatakan mereka pasangan sepadan dan dalam masa yang sama, ada juga mengecam tindakan Iqbal yang didakwa seperti menangguk di air yang keruh dan pertolongan yang diberikan hanya sekadar gimik.

Bagaimanapun, Iqbal menjelaskan dia tidak berniat mencipta persepsi sedemikian, sebaliknya hanya mahu membantu Siti yang sedang berdepan tekanan emosi selepas melalui fasa perpisahan.

“Sejujurnya, saya tak boleh nak suruh orang berhenti bercakap atau tutup mulut orang sebab apa yang diperkatakan itu bukan perkara yang tidak baik. Cuma sekarang ini Siti dalam idah, saya tak nak tindakan saya itu menjadi fitnah dan sebab itulah saya buat video supaya orang nampak setiap kali saya bawa Siti keluar, ada orang lain yang bersama kami.

“Apa yang saya lakukan sekarang hanya untuk membantu Siti. Saya kenal Siti sebelum dia berkahwin dan saya tidak akan biarkan dia meroyan seorang diri sehingga menganggu emosinya,” katanya.

Dalam pada itu, penyanyi lagu Hujan itu turut menegaskan sokongannya kepada Siti bukan bermotifkan populariti atau untuk mencipta sensasi.

“Saya faham tindakan Siti meluahkan isi hatinya di media sosial hanya untuk berkongsi kejujuran dia yang tidak didengari. Terbaharu dia mendakwa dikhianati kawan sendiri.

“Bila saya perhatikan satu persatu ujian yang menimpanya, saya rasa tak boleh terus berdiam diri. Sebagai rakan, saya perlu bantu dia, bukan mahu mengejar populariti atau mencipta gimik sebaliknya saya ingin membantu meringankan masalah dihadapi,” jelasnya lagi.

Dalam masa yang sama, Siti menegaskan dirinya tetap berpegang teguh kepada prinsip menjaga batas sepanjang tempoh idah dan tidak mahu membuka ruang untuk hubungan yang lebih akrab.

“Cukuplah perkenalan saya bersama Iqbal atas urusan perniagaan. Saya tak nak lebih-lebih.

“Walaupun menerima pelbagai kata-kata positif, saya tetap dengan pendirian saya dalam idah, jangan dekati saya. Saya kena jaga apa yang perlu,” katanya.

Siti turut meluahkan rasa syukur kerana dikelilingi insan yang prihatin dan tidak meninggalkannya berseorangan saat diuji.

“Saya bersyukur Allah hadirkan orang yang baik, bukan saja Iqbal tapi ramai individu lain yang datang memberikan sokongan. Ada di antara mereka yang bawa kaunselor serta ustaz yang boleh memberi bimbingan dan kata-kata semangat. Sampai ke tahap itu mereka menyokong saya.

“Sebelum ini saya sangka tiada siapa peduli, rasa ditindas dan tidak dihargai tapi sebenarnya ramai orang di luar sana yang menyayangi dan menghargai saya,” ujarnya.

Terdahulu, hantaran di media sosial yang memaparkan Iqbal menemani Siti menjalani pemeriksaan kandungan telah mencuri perhatian warganet hingga mencetus spekulasi mengenai hubungan mereka.

Scroll to Top