am@hmetro.com.my
Sungai Petani: Pengasuh wanita ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung kematian seorang bayi perempuan berusia 11 bulan ketika dalam jagaannya.
Bayi perempuan terbabit disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, bapa mangsa menerima panggilan daripada pengasuh terbabit pada 2.15 petang, Isnin lalu memaklumkan bahawa anaknya terjatuh daripada kerusi semasa disuap makan dan tidak sedarkan diri.
Katanya, ibu dan bapa bayi berkenaan adalah kakitangan hospital swasta di sini, manakala mangsa adalah anak tunggal mereka.
“Bayi terbabit disahkan meninggal dunia pada 10.42 pagi tadi (hari ini) di hospital, ” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Hanyan berkata, susulan kematian mangsa, pengasuh berusia 30-an terbabit ditahan dan akan dibawa ke mahkamah esok untuk permohonan reman.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 31 Akta Kanak-kanak 2001.
© New Straits Times Press (M) Bhd




