Syed Saddiq peluk ibu sebelum masuk kamar mahkamah

Syed Saddiq peluk ibu sebelum masuk kamar mahkamah

am@hmetro.com.my

Putrajaya: Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tiba di Mahkamah Rayuan di sini, bagi mendengar keputusan rayuan untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan serta denda RM10 juta berkaitan penyelewengan dana Armada.

Bekas Menteri Belia dan Sukan itu tiba jam 8.40 pagi dan dilihat terus bersalaman dan memeluk ibunya, Sharifah Mahani Syed Abdul Aziz yang berada di lobi mahkamah.

Syed Saddiq kemudian bersalaman dan berbual-bual dengan Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir sambil diperhatikan usahawan terkenal, Muhammad Asyraf Khalid.

Sebelum itu, pelakon dan penyanyi Bella Astillah dilihat tiba lebih awal pada 7.50 pagi dengan berbaju kurung biru bagi memberi sokongan kepada Syed Saddiq.

Keputusan hari ini akan menjadi penentu sama ada Syed Saddiq akan bebas daripada semua pertuduhan, atau terpaksa meneruskan perjuangannya di Mahkamah Persekutuan.

Keputusan dijangka diumumkan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan, iaitu Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim, Datuk Azman Abdullah dan Datuk Noorin Badaruddin, sebentar lagi.

Peguam Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden dan Datuk Hisyam Teh Poh Teik, mewakili Syed Saddiq selaku perayu, manakala Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin dan Farah Ezlin Yusop Khan selesai berhujah di hadapan panel tiga hakim berkenaan pada 17 April lalu.

Pada 9 November 2023, Syed Saddiq memfailkan rayuan bagi mengetepikan sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan serta denda RM10 juta oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, selepas didapati bersalah atas empat pertuduhan bersubahat melakukan pecah amanah jenayah, salah guna harta dan pengubahan wang haram membabitkan dana Armada.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top