Badan pengadil pertahan keputusan VAR batalkan gol West Ham

Badan pengadil pertahan keputusan VAR batalkan gol West Ham

London: Badan pengadil bola sepak England mempertahankan keputusan membatalkan gol penyamaan lewat West Ham United ketika menentang Arsenal dalam aksi yang dianggap antara keputusan terbesar pernah dibuat sistem Video Bantuan Pengadil (VAR) dalam sejarah Liga Perdana Inggeris (EPL).

Perlawanan Ahad lalu memberi impak besar di kedua-dua hujung carta liga dengan West Ham yang sedang bergelut mengelak penyingkiran menyangka mereka meraih satu mata berharga apabila Callum Wilson menjaringkan gol selepas situasi sepakan penjuru pada masa kecederaan.

Namun, selepas semakan VAR dilakukan, pengadil Chris Kavanagh meneliti insiden itu di monitor sebelum membatalkan jaringan berkenaan susulan kekasaran dilakukan Pablo terhadap penjaga gol Arsenal, David Raya sebelum Wilson menjaringkan gol.

Keputusan itu memastikan Arsenal membawa pulang tiga mata penuh menerusi kemenangan 1-0.

Penganalisis bola sepak menyifatkan ia keputusan VAR paling besar dalam EPL sejak sistem itu diperkenalkan pada 2019 dengan insiden kelam-kabut di kawasan penalti terus menjadi bahan perdebatan kerana beberapa kekasaran lain turut dilihat berlaku.

“Adakah ia kekasaran terhadap penjaga gol? Ya, memang jelas,” kata ketua badan pengadil England (PGMOL), Howard Webb dalam program televisyen Match Officials Mic’d Up, hari ini.

“Kami sudah jelaskan sepanjang musim ini termasuk ketika taklimat pramusim bersama pemain bahawa jika penjaga gol dihalang lawan dengan menarik atau memegang tangan mereka hingga gagal menjalankan tugas, tindakan akan diambil.

“Raya tidak dapat melakukan apa yang sepatutnya dalam situasi itu sama ada menangkap atau menumbuk bola dan sebab itu VAR campur tangan serta membuat keputusan tepat,” katanya.

Webb turut memaklumkan beberapa kekasaran lain turut diteliti pasukan VAR namun mereka bersetuju insiden paling signifikan adalah terhadap penjaga gol Arsenal itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top