PERTAHANAN Portugal, Joao Cancelo akhirnya membuka mulut mengenai episod hitam kariernya di Arab Saudi bersama Al-Hilal sekali gus mendedahkan dia telah dikhianati oleh pengurusan kelab tersebut sebelum kembali menyertai Barcelona.
Cancelo, yang baharu sahaja membantu Barcelona menjulang kejuaraan La Liga musim 2025-26 mendakwa dirinya menjadi mangsa penipuan pihak atasan Al-Hilal berkaitan status pendaftarannya dalam skuad.
“Di Al-Hilal, malangnya, saya berdepan dengan individu yang tidak bercakap benar kepada saya. Mereka berjanji untuk mendaftarkan nama saya dalam skuad liga, namun apabila tiba masanya, mereka tidak melakukannya.
“Selepas itu, saya pula yang dipandang serong dan diberi imej buruk. Namun, saya seorang yang berpegang pada janji dan saya tidak akan menukar prinsip itu dengan apa pun. Saya seorang yang terus-terang dan tidak menyimpan dendam terhadap sesiapa,” kata Cancelo.
Cancelo berhijrah ke Al-Hilal pada musim 2024-2025 dan beraksi 39 perlawanan dengan kelab itu, namun pada musim 2025-2026 dia hanya bermain sebanyak enam perlawanan sebelum diketepikan dan dipinjamkan ke Barcelona.
Biarpun kariernya kembali bersinar di bawah kendalian Hansi Flick, masa depan pemain itu kini menjadi tanda tanya.
Al-Hilal dilaporkan enggan melepaskan bekas pertahanan Manchester City itu secara percuma dan telah meletakkan tanda harga sebanyak €15 juta.
Barcelona difahamkan berminat untuk mengekalkan khidmat Cancelo, namun hanya bersedia untuk menandatanganinya sebagai ejen bebas. Situasi itu nyata bertentangan dengan tuntutan kewangan kelab Arab Saudi tersebut yang masih terikat dengan kuota pemain asing.
Di bawah bimbingan Flick, Cancelo telah menemui semula rentak terbaiknya. Keupayaannya beraksi di kedua-dua belah posisi pertahanan serta fleksibiliti untuk bergerak ke bahagian tengah menjadikannya watak penting dalam taktikal Blaugrana musim ini.
Kejayaan menjulang trofi La Liga kali ini menjadikan Cancelo antara pemain elit yang melakar sejarah gemilang apabila memenangi kejuaraan liga dalam empat daripada lima liga utama Eropah.
Sebelum ini, dia pernah menjuarai Liga Perdana Inggeris (Manchester City), Serie A (Juventus), Bundesliga (Bayern Munich) dan kini La Liga bersama Barcelona.



