Guru silat didakwa cabul tiga remaja lelaki

Guru silat didakwa cabul tiga remaja lelaki

am@hmetro.com.my

Kota Bharu: Seorang guru silat didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas empat pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap tiga remaja lelaki berusia 15 hingga 17 tahun yang juga anak muridnya pada November 2023 dan Januari serta Februari lalu.

Bagaimanapun, tertuduh, Faizul Yusoff, 54, mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh didakwa mencabul seorang remaja lelaki berusia 15 tahun di sebuah bilik hotel di Jalan Pantai Cahaya Bulan di sini, jam 9 malam pada 13 Februari 2025 dan 3 pagi keesokan harinya.

Bagi pertuduhan ketiga, Faizul didakwa memeluk dan menyentuh remaja lelaki berusia 17 tahun tiga bulan di sebuah inap desa di Kadok di sini, jam 1 pagi pada 13 November 2023.

Pertuduhan keempat, tertuduh didakwa mencabul seorang remaja lelaki berusia 17 tahun satu bulan di sebuah inap desa di Bachok di sini, jam 3 pagi pada 28 Januari 2025.

Keempat-empat pertuduhan itu didakwa mengikut Seksyen 14(a) dan 14(b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Kamarul Hasyime Rosli, manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Nur Alyaa Mohd Zain.

Terdahulu, Kamarul Hasyime tidak mencadangkan jaminan kepada tertuduh memandangkan kes itu membabitkan mangsa kanak-kanak di bawah umur.

Nur Alyaa memohon mahkamah membenarkan ikat jaminan terhadap anak guamnya yang juga penanggung tunggal keluarga dan tidak mempunyai pekerjaan tetap.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM40,000 dengan seorang penjamin untuk keempat-empat pertuduhan dengan syarat tambahan iaitu tidak dibenarkan mengganggu mangsa serta saksi pendakwaan.

Mahkamah menetapkan 27 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top