Kodi Rasheed sanggup 'ikat perut' demi tuntutan watak

Kodi Rasheed sanggup 'ikat perut' demi tuntutan watak

mohamadridzuan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur : Daripada berat asal 84 kilogram (kg), pelakon Kodi Rasheed kini menurunkan berat badan kepada 62 kg bagi menjayakan watak untuk sebuah filem.

Kodi atau nama sebenarnya, Muhammad Shazmeer Mohd Rasheed, 36, berkata, dia mengambil masa tiga bulan untuk misi ini.

“Saya buat ini untuk ‘shooting’ sebuah filem baru. Masa saya berlakon Malaikat Malam, saya diminta untuk kuruskan badan dan saya ikut.

“Jadi saya pun kurus, turun 15 kg. Tapi tak nampaklah kurus itu lagi. Lepas itu saya dapat tawaran berlakon filem Hak – Tuntut Atau Tunduk daripada Seni Malaya, Astro Shaw.

“Mereka minta saya kurus, dan terpaksalah kuruskan lagi badan. Jadinya memang saya nampak terlampau kurus,” katanya kepada Harian Metro.

Kodi berkata, wataknya juga memerlukan dia berpenampilan serabai teruk kerana dia individu yang ditindas oleh badan berautoriti.

“Kalau tengok gambar saya kat Instagram baru-baru ini Memang itulah dia. Setiap kali jumpa orang, mereka pasti akan tegur. Ya Allah malunya bila nak keluar.

“Rasa kecil kita, macam tak bersiap. Tapi saya gagahkan diri jugalah sebab demi watak. Saya memang kalau dapat sesuatu watak, akan ‘all out’.

“Untuk dapatkan berat ini, saya diet teruk-teruk. Saya tak ambil gula langsung masa tiga bulan pertama itu. Air manis, roti, saya tak makan langsung,” katanya.

Kodi juga mengelakkan makan makanan berasaskan tepung dan berpuashati dengan hasil yang diperolehinya.

“Tapi saya makan nasi juga dalam tengahari. Saya makan sikit, tapi saya makan dengan ikan bakar. Petang ikan bakar sahaja. Lepas itu malam kalau saya lapar saya makan buah jambu.

“Diet saya itu saja, hari-hari saya makan benda sama sampailah tiga bulan, dah kurus. Okey sekarang ini saya still tak minum air manis tapi saya dah makan kek, sikit-sikit. Gula itu ambil sikit-sikit dah.

“Situasi saya sekarang dah okey. Alhamdulillah air manis itu saya dah tak hairan langsung. Dah jadi tabiat kalau minum air manis pun dah jadi lain. Tak tahulah macam mana nak cakap,” kata Kodi yang bakal membintangi filem terbaru berjudul The Real Mamu terbitan Z & K Creative Sdn Bhd arahan Zulkifli Abu Hassan dan Dharma Nasution.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top