Letusan Gunung Sinabung: Rakyat Malaysia dinasihatkan berwaspada

Jakarta: Rakyat Malaysia yang berada di, atau, dalam perjalanan ke Kabupaten Karo, Sumatera Utara, dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dan mengelakkan kawasan sekitar Gunung Sinabung susulan letusan pada Isnin, yang mengganggu penerbangan dan menyebabkan pemindahan lebih 2,400 penduduk.

Dalam kenyataan pada Selasa, Konsulat Jeneral Malaysia di Medan menggesa rakyat Malaysia supaya mematuhi arahan pihak berkuasa Indonesia sambil memaklumkan bahawa beberapa penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kualanamu Medan iaitu pintu masuk utama ke Kabupaten Karo, dilaporkan telah dijadualkan semula atau dibatalkan akibat debu gunung berapi.

“Mereka yang dalam perjalanan ke atau dari Medan melalui udara dinasihatkan menghubungi syarikat penerbangan masing-masing secara terus bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai sebarang kelewatan, penjadualan semula, atau pembatalan penerbangan,” menurut kenyataan yang dimuat naik di media sosial konsulat itu pada Selasa.

Gunung Sinabung meletus pada 10.17 pagi waktu tempatan pada Isnin, memuntahkan kepulan tebal debu gunung berapi setinggi kira-kira 3.5 kilometer dari puncaknya, menurut Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Bencana Geologi (PVMBG) Indonesia.

Susulan letusan itu, Badan Geologi Indonesia menaikkan status Gunung Sinabung daripada Tahap II (Waspada) kepada Tahap III (Siaga) pada 12.30 tengah hari, selepas pemantauan visual dan instrumen menunjukkan peningkatan aktiviti gunung berapi.

Konsulat itu menyatakan pihak berkuasa Indonesia turut mengarahkan pemindahan 2,451 penduduk dari kampung berhampiran sebagai langkah berjaga-jaga manakala penduduk dan pengunjung dinasihatkan supaya mengelakkan sebarang aktiviti dalam radius tiga kilometer dari puncak gunung serta dalam lingkungan enam kilometer di sektor selatan-tenggara.

“Konsulat akan terus memantau situasi dengan teliti dan memberikan maklumat terkini sekiranya terdapat sebarang perkembangan penting,” menurut kenyataan itu.

Warga Malaysia yang terjejas atau memerlukan bantuan boleh menghubungi pihak konsulat di nombor telefon +62 823 6164 6046 atau e-mel mwmedan@kin.gov.my.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top