KJH ke selatan tanah air

KJH ke selatan tanah air

suliati@hmetro.com.my

KARNIVAL Jom Heboh (KJH) kembali menggegarkan selatan tanah air selama tiga hari berturut-turut bermula dari 27 hingga 29 Jun 2025 (Jumaat hingga Ahad) dengan pelbagai aktiviti menarik untuk seisi keluarga.

Lebih istimewa, edisi kali ini turut meraikan Hari Nanas Malaysia secara besar-besaran dalam suasana penuh warna dan kemeriahan, sekali gus mengangkat buah tropika kebanggaan negara ke tahap lebih tinggi.

Hari Nanas Malaysia adalah inisiatif yang diwujudkan bagi mempromosikan industri nanas negara secara menyeluruh, merangkumi aspek pengeluaran, pemprosesan dan pemasaran.

Ia juga menjadi platform bagi mengiktiraf sumbangan pengusaha tempatan serta merakyatkan nanas sebagai komoditi penting dalam sektor agro makanan negara.

Justeru, menerusi Karnival Jom Heboh Sempena Hari Nanas Malaysia yang akan diadakan di Padang B, Angsana Johor Bahru Mall, pengunjung dapat melihat sendiri perkembangan industri nanas negara.

Antara tarikan utama termasuklah percubaan mencipta rekod Malaysia Book of Records bagi ‘Most Pineapple Tart Bakes in the Event’, Pertandingan Tart Nanas, Seminar Industri Nanas Antarabangsa 2025, pameran serta jualan produk usahawan berasaskan nanas.

Tidak ketinggalan, demonstrasi dan sesi uji rasa pelbagai produk berasaskan buah tropika itu. Pelbagai pertandingan seperti Pertandingan Teka Silang Kata, E-Sukan, Kupas Nanas, Rasa Buah serta peluang membawa pulang buah nanas secara percuma turut dianjurkan bagi memeriahkan suasana.

Sepanjang tiga hari ini juga, KJH bakal menjanjikan pengalaman manis dan menyeronokkan buat semua lapisan masyarakat.

Reruai interaktif seperti Studio Jom Heboh, Studio Tonton Drama Sangat, The New Straits Times Press (NSTP) serta Kedai Jom Heboh, misalnya ia tidak hanya memeriahkan suasana tetapi turut menawarkan barangan eksklusif kepada pengunjung.

Istimewa buat warga selatan, Studio Tonton Drama Sangat turut menganjurkan pertandingan menarik seperti Pertandingan Nasyid Terbuka pada Jumaat, diikuti Pertandingan Tarian Zapin Kreatif Terbuka pada Sabtu dan Ejen Ali Explorace bakal mencuri tumpuan si kecil pada hari ahad.

Tidak hanya terbuka kepada umum, semua pertandingan ini juga menawarkan hadiah terkumpul hampir RM7,000.

Pengunjung juga berpeluang bertemu dengan selebriti popular dan personaliti Media Prima yang membintangi drama-drama kegemaran ramai seperti Aku Bukan Ustazah 2, Polis Peronda, Baby Papa, dan Pasca Kau Pergi.

Antara yang dijangka hadir termasuklah Ahmad Syafiq, Kodi Rasheed, Shah Iskandar, Faizal Hussein, Kirana Batrisyia, Liza Abdullah, Aleza Shadan dan Didie Alias.

Menjadi pelengkap acara, Konsert Jom Heboh Johor Bahru ini pastinya tidak akan mengecewakan malah dianjurkan selama dua malam berturut-turut. Untuk konsert malam pertama, antara yang akan membuat persembahan ialah Amir UK’s, Tuju & Loca B, Wany Kayrie, Haiza dan Sofarz, manakala malam kedua pula menyaksikan gabungan hebat Nabila Razali, Sham Visa, Drama Band, K.O.I dan Jaclyn Victor.

Bagi yang gemar cabaran pula, jangan lepaskan peluang menguji skil memandu secara simulasi yang realistik seolah berada di litar perlumbaan sebenar menerusi NSTP Car Sim Experience.

Dengan peralatan berteknologi tinggi dan cabaran mendebarkan, ia pasti menjadi aktiviti yang mencetuskan adrenalin.

Majlis ilmu dan program ‘Jom Selawat’ turut dianjurkan sempena sambutan Hari Nanas Malaysia pada jumaat jam 9 malam yang akan menampilkan penceramah terkenal seperti Fahmi Tajuddin dan Ustaz Azam Al-Kankari, selain persembahan khas Kumpulan Qasidah Fitrah Al-Masarrah.

Menambahkan kemeriahan KJH, lebih 170 reruai lain turut serta termasuk TikTok Shop, Perkampungan Jom Tani, 100PLUS, CelcomDigi, Affin Bank, Snekku dan banyak lagi yang menawarkan promosi hebat serta hadiah menarik sepanjang karnival berlangsung.

Apa yang pasti, sepanjang tiga hari ini pengunjung tidak akan pulang dengan tangan kosong kerana pelbagai hadiah lumayan seperti iPad, T-Shirt eksklusif dan barangan istimewa lain menanti untuk dimenangi.

Oleh itu, warga Johor dan seluruh penduduk selatan, luangkan hujung minggu anda bersama keluarga dan nikmati pelbagai aktiviti menarik, hiburan, makanan viral serta peluang bertemu selebriti kegemaran anda di KJH Sempena Hari Nanas Malaysia.

Abadikan juga momen istimewa dan kongsikan keseronokan di KJH dengan menggunakan tanda pagar rasmi #TV3SentiasaBersamamu, #KarnivalJomHeboh dan #HariNanasMalaysia.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top