AS akan jumpa Iran minggu depan – Trump

AS akan jumpa Iran minggu depan – Trump

The Hague, Belanda: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump memuji penamatan segera perang antara Iran dan Israel dan berkata, Washington akan mendapatkan komitmen daripada Tehran untuk menamatkan cita-cita nuklearnya pada rundingan dengan pegawai Iran, minggu depan.

Trump berkata, keputusannya untuk menyertai serangan Israel dengan menyasarkan tapak nuklear Iran dengan bom pemusnah bunker besar telah menamatkan perang, menyebutnya sebagai kemenangan untuk semua orang.

“Ia sangat teruk. Ia adalah pemusnahan,” katanya yang mengenepikan penilaian awal oleh Agensi Perisikan Pertahanan AS bahawa laluan Iran untuk membina senjata nuklear mungkin dihentikan hanya untuk beberapa bulan.

Bercakap di The Hague di mana beliau menghadiri sidang kemuncak NATO pada Rabu, Trump berkata, beliau tidak melihat Iran akan terbabit dalam membangunkan lagi senjata nuklear.

“Kami akan bercakap dengan mereka minggu depan, dengan Iran. Kami mungkin menandatangani perjanjian. Saya tidak tahu. Bagi saya, saya rasa ia tidak perlu,” kata Trump.

Tehran sebelum ini sentiasa menafikan tuduhan beberapa dekad pemimpin Barat bahawa negara itu sedang mencari senjata nuklear.

Rakyat Iran dan Israel yang cemas dengan perang 12 hari, berusaha untuk meneruskan kehidupan normal selepas konfrontasi paling sengit pernah berlaku antara kedua-duanya.

Agensi nuklear Israel menilai serangan itu sebagai ‘menghalang keupayaan Iran untuk membangunkan senjata nuklear selama bertahun-tahun’.

Rumah Putih juga mengedarkan penilaian Israel, meskipun Trump berkata beliau tidak bergantung pada perisikan Israel.

Beliau yakin Tehran akan meneruskan jalan diplomatik ke arah perdamaian.

“Saya akan beritahu anda, perkara terakhir yang mereka mahu lakukan ialah memperkayakan apa sahaja sekarang. Mereka mahu pulih.

“Jika Iran cuba membina semula program nuklearnya, kami tidak akan membiarkan perkara itu berlaku. Nombor satu, dari segi ketenteraan kami tidak akan,” katanya.

Ketua badan pemerhati nuklear PBB, Rafael Grossi menolak apa yang disebutnya sebagai “pendekatan jam pasir” untuk menilai kerosakan program nuklear Iran dari segi bulan yang diperlukan untuk membina semula sebagai tambahan kepada isu yang memerlukan penyelesaian jangka panjang.

“Apa pun, ilmu teknologi ada dan kapasiti industri ada. Itu, tiada siapa boleh nafikan. Jadi kita perlu bekerjasama dengan mereka,” katanya.

Keutamaan beliau ialah mengembalikan pemeriksa antarabangsa ke tapak nuklear Iran, yang menurutnya adalah satu-satunya cara untuk mengetahui dengan tepat di mana mereka berada.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top