Modric setuju sertai AC Milan

Modric setuju sertai AC Milan

London: Luka Modric bersetuju secara lisan untuk menyertai AC Milan, kata pengarah sukan kelab Serie A itu, Igli Tare, semalam.

“Saya bercakap dengannya secara peribadi dan melihat seorang lelaki yang benar-benar bersemangat untuk terus bersaing. Kehadirannya sangat penting untuk satu pasukan yang memerlukan pemain seperti dia, seorang pemimpin,” kata Tare kepada Gazzetta dello Sport.

“Soalan pertama ditanya Luka kepada saya ialah: ‘Adakah kita akan menjadi pasukan yang dibina untuk memenangi kejuaraan?’ Dia memenangi enam Liga Juara-Juara dan mahu menjadi pemain utama sejak awal.

“Dia penting bukan hanya kerana kualiti permainan, tetapi juga kerana mentaliti, kepimpinan dan profesionalisme yang akan dibawanya. Fakta bahawa dia ialah peminat AC Milan menjadikan cerita ini lebih menarik, dan akan menjadi sesuatu yang hebat jika dia mengharungi detik cemerlang memandangkan hujung musim nanti adalah Piala Dunia,” tambahnya.

Terma peribadi antara Modric yang berusia 40 tahun dan Milan telah dipersetujui, menurut sumber yang memberitahu ESPN.

Kedua-dua pihak berjabat tangan pada awal Jun, sejurus sebelum bermulanya Piala Dunia Kelab, dan Modric akan menandatangani kontrak sebaik sahaja kejohanan di Amerika Syarikat itu tamat.

Modric akan menandatangani kontrak selama satu tahun, dengan pilihan lanjutan untuk setahun lagi, dengan gaji bersih sekitar €3.5 juta (RM17.3 juta) semusim, termasuk bonus, menurut sumber ESPN.

Milan juga mencapai persetujuan peribadi dengan pemain tengah Bayer Leverkusen, Granit Xhaka namun persetujuan mengenai yuran perpindahan masih belum dimuktamadkan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top