MARA tidak kompromi kes buli – Asyraf Wajdi

MARA tidak kompromi kes buli – Asyraf Wajdi

nfazlina@nstp.com.my

Pasir Mas: Kejadian buli yang berlaku di sebuah Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Besut, Terengganu disifatkan amat mendukacitakan walaupun pelbagai kempen pencegahan termasuk kaunseling sudah dilakukan selama ini bagi membendung perbuatan itu.

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, sejak dua tahun lalu pelbagai pendekatan dilakukan namun perbuatan itu masih berulang walaupun terpencil.

“Saya berkali-kali menegaskan tidak akan berkompromi dengan perbuatan buli. Apa yang berlaku di MRSM Besut mendukacitakan dan segala prosedur berhubung kes berkenaan sudah dilaksanakan.

“Jawatankuasa disiplin MRSM berkenaan juga sudah selesai menjalankan siasatan dan mengesahkan perbuatan itu berlaku sebelum saya mengarahkan enam pelajar yang terbabit dalam kes berkenaan dibuang serta merta.

“Apa jua alasan yang diberikan, saya tidak akan terima dan untuk siasatan polis, kita serahkan sepenuhnya kepada polis,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Perwakilan UMNO Bahagian Rantau Panjang di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, perbuatan buli membabitkan MRSM kini jauh berkurangan berbanding sebelum ini, namun masih ada kes yang terpencil.

“Jika dibandingkan dengan dulu, kes bulu sekarang sudah jarang dilaporkan dan kita juga mengadakan pelbagai program sejak dua tahun lalu bagi mencegah sebarang perbuatan buli.

Terdahulu, enam pelajar MRSM Besut yang didapati membuli seorang pelajar Tingkatan Dua sehingga cedera, sudah diarahkan dibuang dari institusi berkenaan.

Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, menegaskan tidak ada kompromi terhadap perbuatan itu atas apa juga alasan.

Semalam, media melaporkan seorang pelajar Tingkatan Dua sebuah MRSM di Besut mendakwa dibuli sekumpulan pelajar senior di asrama Putera pada malam Selasa lalu sehingga mengalami kecederaan di perut, rusuk dan belakang badan.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Azamuddin Ahmad @ Abu, dipetik berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 6.48 petang kelmarin.

Berdasarkan keterangan mangsa lelaki berusia 14 tahun, Azamuddin berkata, pelajar itu mendakwa dibuli dengan diarahkan membuat kedudukan separa mencangkung dan diletakkan selipar di atas kepala selama 40 minit, kira-kira jam 11.30 malam.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top