Kapal tangki minyak bayar RM21 juta lalu Terusan Panama

BANDAR RAYA PANAMA: Sebuah kapal tangki yang membawa gas petroleum cecair (LPG) membayar AS$5.3 juta (RM21.35 juta) untuk mendapatkan laluan ke­utamaan melalui Terusan Panama menjelang sekatan berkaitan El Nino, kata timbalan pentadbir laluan air itu, Ilya Espino de Marotta kepada AFP pada Khamis.

Syarikat Korea Selatan, SK Gas membayar jumlah rekod itu bagi membolehkan kapal G. Spirit mela­lui laluan perkapalan tersebut pada 1 September, dua hari sebelum pihak berkuasa terusan mengurangkan jumlah kapal yang dibenarkan melaluinya akibat fenomena cuaca El Nino, lapor Bloomberg.

Panama pada Selasa menjadi negara Amerika Tengah terbaharu yang mengisytiharkan darurat aki­bat El Nino, yang menyebabkan paras air di terusan itu semakin menyusut susulan kemarau teruk di seluruh rantau berkenaan.

El Nino ialah corak cuaca yang meningkatkan suhu permukaan di bahagian tengah dan timur Lautan Pasifik khatulistiwa, sekali gus mencetuskan perubahan global pada angin serta taburan hujan serta keadaan cuaca yang tidak menentu.

Fenomena itu turut menyumbang kepada peningkatan suhu global dalam tahun yang diramalkan menjadi tahun paling panas pernah direkodkan.

Kapal yang melalui Terusan Panama biasanya menempah laluan lebih awal.

Namun, kapal tanpa tempahan perlu menunggu secara purata lima hari untuk melalui terusan itu. 

Bagaimanapun, terdapat sistem lelongan yang membolehkan laluan pada saat akhir dibeli.

Pihak Berkuasa Terusan Panama dalam satu kenyataan berkata harga purata lelongan antara Oktober 2025 hingga Februari 2026 adalah sekitar AS$55,000 (RM221,410).

Ia memecah rekod apabila, pada April lalu, sebuah kapal yang membawa gas asli cecair (LNG) membayar AS$4 juta (RM16 juta) untuk memintas barisan dan mengelak daripada menunggu bagi melalui terusan itu ketika perang di Asia Barat meningkatkan permintaan untuk mengangkut kargo penting melalui laluan berkenaan.

 

Scroll to Top