Seharian hilang, wanita ditemukan lemas di Sungai Muar

Seharian hilang, wanita ditemukan lemas di Sungai Muar

am@hmetro.com.my

Muar: Misteri kehilangan wanita berakhir apabila mayatnya ditemui terapung dalam keadaan terlentang di Sungai Muar, berhampiran Dataran Tanjung Emas, di sini tengahari semalam.

Mayat wanita berusia 52 tahun ditemui orang awam yang kebetulan berada di dataran terbabit dalam keadaan lengkap berpakaian serta sedang hanyut dibawa arus.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz, berkata pada jam 1.20 tengahari, polis menerima aduan orang awam menyatakan ternampak objek seperti mayat sedang terapung di Sungai Muar.

Menurutnya, siasatan dijalankan oleh polis Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar di lokasi penemuan mendapati wanita itu meninggal dunia dipercayai lemas.

“Pemerhatian awal mendapati tiada sebarang unsur jenayah ditemui pada mayat terbabit. Usaha menaikkan mayat dijalankan dengan bantuan bomba,” katanya dalam kenyataan.

Kata Raiz Mukhliz lagi, mayat dihantar ke Unit Forensik, Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) untuk bedah siasat.

Beliau berkata, kira-kira dua jam selepas penemuan mayat itu, polis menerima aduan pengadu berhubung kehilangan ahli keluarga mereka.

“Pengadu kemudian dibawa ke HPSF untuk proses pengecaman dan disahkan oleh pihak keluarga seperti mana aduan dilaporkan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top