Kuala Lumpur: Lelaki asing lebih romantik dan pandai ‘mengayat’ membuatkan wanita tempatan mudah jatuh cinta.
Menurut pakar perunding perkahwinan dan keluarga, Hushim Salleh, berbanding lelaki tempatan, kebanyakan lelaki warga asing memiliki sikap romantik dan pandai mengambil hati.
“Mungkin kerana berlainan budaya dan latar belakang, lelaki asing memiliki perlakuan atau bersifat romantik terhadap pasangan.
“Apatah lagi mereka mengenali wanita tempatan yang memiliki latar belakang, agama dan budaya berbeza menyebabkan lelaki asing lebih memberi perhatian serta sensitif terhadap pasangan mereka.
“Tidak hairanlah effort (usaha) lelaki warga asing memikat wanita tempatan kelihatan begitu ‘manis’ dan itu antara kekurangan lelaki tempatan,” katanya.
Selain itu, sikap wanita tempatan jarang menerima layanan baik termasuk memiliki sejarah buruk ketika bersama lelaki tempatan, menyebabkan mereka mudah beralih hati kepada pasangan lelaki asing.
“Wanita memiliki sifat semula jadi suka dimanja dan dikasihi pasangan, menyebabkan apabila mengahwini pasangan negara lain menerima layanan itu berasa sesuatu menyenangkan.
“Berkemungkinan layanan diterima wanita tempatan ini berbeza mengikut budaya asal negara lelaki asing terbabit. Ini menyebabkan layanan diterima sedikit istimewa.
“Di Barat, cara ekspresi kasih dan sayang itu cukup terbuka. Begitu juga di Timur Tengah, mereka ini cukup berani menunjukkan rasa sayang. Cara itu tidak sama di sini (Malaysia ) dan ini menyebabkan wanita tempatan tadi lebih bahagia dengan pasangannya warga asing,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd