sukan@hmetro.com.my
Kota Bharu: Kejayaan ex TRW treble memenuhkan kembali stadium keramat Kelantan akan diteruskan dengan menyerap bekas pemain kebangsaan yang juga pemain The Red Warriors ke dalam pasukan Kelantan Darul Naim (KDN) FC bagi musim 2025/26.
Perkara itu dinyatakan bekas Presiden Kelab Bolasepak Kelantan, Tan Sri Annuar Musa pada perlawanan persahabatan Piala PUC antara pasukan Ex Trw Treble menentang Double Treble Kedah, malam tadi.
Annuar berkata, beberapa pemain legenda kebangsaan juga akan menyertai pasukan itu selain pemain kebangsaan dari Asia Tenggara, benua Asia dan Afrika turut direkrut bagi memenuhi kuota 10 import.
Katanya, ini bagi memastikan pasukan Kelantan bukan lagi pasukan belasahan bagi musim ini.
“Beberapa pemain kebangsaan akan diumumkan KDN atau pasukan ini yang akan dijelmakan dalam bentuk yang baru.
“Pengurusan berdosa kepada penyokong, tahun ini kita ada tiga pasukan akan beraksi mewakili Kelantan iaitu WTS dan KRW di Liga A1 dan KDN di Liga Super, kita akan hidupkan suasana seperti waktu kegemilangan Kelantan dahulu,” katanya ketika berucap pada perlawanan yang menyaksikan ex TRW treble menang 3-0 ke atas Kedah di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, di sini.
Bapa pembangunan bola sepak Kelantan itu berkata, penting untuk memasukkan pemain yang sedia ada nama ke pasukan KDN FC sebagai salah satu usaha meraih kehadiran penyokong ke stadium.
Annuar dilihat menjadi sebahagian mastermind KDN FC apabila kerap memuat naik perkembangan pasukan yang kini dikemudi bekas jurulatih kebangsaan, E Elavarasan.
Selain memenuhi barisan pemain berpengalaman, pasukan turut menerima tajaan syarikat pengeluar pakaian dan peralatan sukan jenama tempatan, PUC Sport berjumlah RM 500,00 ke RM600,000 musim ini.
Bekas pemain Kelantan, Zairul Fitree Ishak pula berkata, beliau melihat perubahan yang ketara dalam pasukan Liga Super dari segi Kelantan kehilangan nama-nama pemain tempatan.
Katanya, pemain terlalu muda bermain dalam Liga Super dan memerlukan masa untuk mencipta nama, justeru kehadiran pemain senior dapat membantu dari segi pemasaran dan menarik penyokong ke stadium.
“Bagi bekas pemain Kelantan ini, kita ingin melihat pembangunan yang betul-betul stabil dari segi kewangan, sokongan penyokong dan penaja, kita harapkan tahun ini adalah tahun kebangkitan negeri Kelantan,” katanya.
Selain dibarisi nama-nama legenda dalam bola sepak Kelantan, KDN turut dijangka mengumumkan penjenamaan semula pasukan bagi terus meraih sokongan peminat bola sepak dengan memperkenalkan laman sosial terbaharu menggunakan nama The Real Warriors sejak tiga hari lalu.
KDN FC turut menyenaraikan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan dan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat Negeri Kelantan, Zamakhshari Muhamad sebagai penasihat pasukan.
© New Straits Times Press (M) Bhd